UMNO kekal dalam kerajaan bagi perkukuh agenda Melayu, Bumiputera – Mohamad

UMNO kekal dalam kerajaan bagi perkukuh agenda Melayu, Bumiputera – Mohamad

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tindakan UMNO yang kekal berada dalam kerajaan merupakan langkah strategik yang membolehkan parti itu terus memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera.

Mohamad berkata, agenda itu giat dilaksanakan kepimpinan tertinggi UMNO termasuk Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menerajui pelaksanaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), walaupun bidang tersebut lazimnya terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia.

“Ramai tanya, kenapa kita tak keluar saja daripada kerajaan sekarang? Kalau kita keluar sekarang, dalam dua jam sahaja akan ada parti lain ambil tempat kita dan kita tak mahu jadi tukang sorak di luar, lebih baik kita berada dalam kerajaan, kita boleh buat agenda baharu, kita buat agenda, ubah sesuai dengan zaman.

“Contohnya TVET, kita ambil alih kerana ramai anak Melayu tercicir, bukan sebab gagal peperiksaan, tetapi kerana tidak ambil peperiksaan langsung, jadi kita perlu cipta satu landasan baharu untuk mereka sebab itu kita wujudkan Dasar TVET Negara, Dasar Tahfiz Negara dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras Empat Peringkat Tahun 2025 di Dewan Pusat Rekreasi Cheras, Jalan Peel, di sini hari ini.

Mohamad berkata, UMNO juga sedang giat memperkukuh parti dengan pendekatan yang lebih realistik bagi menghadapi landskap politik semasa yang semakin kompleks dan dinamik dengan memberi fokus kepada kerjasama strategik dan pemetaan kawasan yang boleh dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.

“Kita masih dalam keadaan memperkasakan parti, mengkuatkan ‘badan’ kerana kita lemas pada 2022 dan dinamika politik sekarang tidak boleh rigid lagi kerana seluruh dunia tidak ada satu parti tunggal yang boleh menubuhkan kerajaan, carilah mana parti, carilah mana negara, tak ada lagi dah zaman atau era satu parti dapat menubuhkan kerajaan secara sendiri, ia dah tamat.

“Maka apa cara kita? Itu sebabnya kita sekarang sedang meneliti kawasan mana yang boleh kita jadikan sebagai kawasan yang boleh menang walaupun betul kita ada 192 bahagian tetapi kita mesti menggunakan politik yang realistik, jangan politik idealisme kerana ia akan mengkhayalkan kita, akan menghanyutkan kita,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan keadaan dalaman UMNO yang menurutnya kekal harmoni dan stabil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top