am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: UMNO akan mengambil langkah memulakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang memfitnah serta cuba mencetus persepsi tidak betul dan negatif terhadap parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan saman itu kini dilihat sebagai satu keperluan dalam usaha menjaga maruah serta imej parti, terutama mengambil kira perkembangan media sosial yang semakin meluas dan terbuka.
“Selama ini, memang bukan menjadi budaya UMNO untuk menyaman atau menghantar tuntutan kepada mana-mana pihak.
“(Namun) kita dapati dengan suasana dan (perkembangan) media sosial ini, sudah tiba masanya untuk UMNO bertindak agresif dan mengambil pengajaran juga dari pengalaman parti lain,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata langkah memulakan tindakan saman sudah dipersetujui oleh mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan ia akan dilaksana serta-merta oleh pihak ibu pejabat.
“Kalau kita lihat mereka (parti lain) agresif menyaman siapa saja yang cuba mencetuskan persepsi tak betul dan memfitnah (dan langkah saman itu diambil) bagi maksud mengatakan kebenaran bagi pihak mereka.
“Supaya sesiapa saja yang mencetuskan fitnah terhadap mana-mana pemimpin UMNO, kita akan bertindak untuk saman mereka. Kita boleh laksana terus,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajid berkata, UMNO akan menubuhkan Jabatan Pengundi Luar bagi mendekati pengundi khususnya membabitkan kawasan yang akan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Kita dapati secara puratanya pengundi (berada) di negeri lain, yang mana mereka berada di luar kawasan khususnya di Lembah Klang, Wilayah Persekutuan dan Selangor.
“Dalam mesyuarat MKT, kita sudah putuskan untuk menerima cadangan mewujudkan Jabatan Pengundi Luar bagi kita menggarap pendekatan untuk kita mendekati pengundi di Parlimen yang menjadi sasaran UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kita dekati dan adakan program menyalurkan bantuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




