SEREMBAN — UMNO Negeri Sembilan menafikan dakwaan bahawa parti itu mengkhianati Pakatan Harapan (PH) dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Nagoor berkata, tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bukan bermakna parti itu mengkhianati hubungan yang telah terjalin.
“Suarakan pandangan, keresahan dan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar bukan bermakna kita khianat.
“Kita hanya mempersoalkan bagaimana beliau menguruskan krisis yang melibatkan institusi raja. Itu sahaja. Kalau kita khianat, kita tidak lagi berada dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Aminuddin dalam Konvensyen PH di Johor Bahru pada Ahad yang menyatakan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan beliau sebagai satu bentuk pengkhianatan.
Tegas Mustapha, pendirian UMNO Negeri Sembilan berhubung isu melibatkan institusi raja dan adat sebelum ini bukan bertujuan menggugat kerajaan negeri sedia ada.
Malah, jelas beliau, hubungan yang terjalin antara UMNO dan PH dalam urus tadbir kerajaan negeri sebelum ini berlangsung dalam keadaan baik.
“Yang jelas, UMNO-BN memainkan peranan untuk menstabilkan politik di Negeri Sembilan apabila kita menyumbang kerusi paling banyak iaitu 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) lima kerusi dan DAP 11 kerusi.
“Mungkin Aminuddin berasa tertekan dengan situasi PKR sekarang yang berdepan perpecahan. Beliau mungkin marah kepada Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa mengkhianati parti selepas mengumumkan keluar parti,” katanya.
Mengulas kenyataan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook yang memaklumkan parti terbabit bersedia untuk bertanding di kesemua 36 kerusi DUN, beliau berkata, UMNO-BN akan mengambil langkah sama sekiranya PH telah memutuskan demikian.
“Fokus kita seperti yang diarahkan oleh pucuk pimpinan parti adalah menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya.
“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti dan apabila sampai masanya, kita akan membuat keputusan yang sewajarnya. Namun, buat masa ini, keutamaan kami adalah memastikan rakyat terus mendapat perkhidmatan terbaik,” katanya.



