bhrencana@bh.com.my
Dalam kangan komuniti Melayu, UMNO sering menonjolkan imejnya sebagai pelindung kepada kepentingan Melayu.
Imej itu nampak ketara kerana UMNO adalah parti Melayu paling dominan dalam politik Malaysia.
Sebagai tunjang parti utama Melayu, UMNO sering menggunakan wacana sejarah lalu untuk membentuk taat setia daripada rakyat. UMNO juga berulang kali bertegas bahawa parti itu satu-satunya yang mampu memerintah negara.
Tidak dinafikan, UMNO berjaya menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan begitu baik, khususnya bermula 1980-an hingga pertengahan 1990-an.
Dengan rekod pencapaian itu, UMNO berjaya memanipulasikan keadaan untuk mendapatkan apresiasi besar daripada rakyat, sekali gus membuktikan bahawa hanya UMNO sahaja yang berkeupayaan membawa pembangunan serta memiliki kewibawaan dalam merangsang kemakmuran ekonomi.
Namun, dalam sistem demokrasi, kuasa pemerintahan boleh berubah kepada parti yang lain.
Penentuan sesuatu dasar yang membabitkan kepentingan rakyat ditentukan menerusi fungsi Parlimen, melalui perwakilan yang dipilih oleh rakyat dalam proses pilihan raya.
Dalam sistem politik moden, kedaulatan rakyat menjadi asas terpenting dalam menyekat dan menyeimbangkan sebarang tindakan pemerintah.
UMNO harus sedar bahawa persaingan dalam politik adalah bersifat terbuka.
Rakyat berhak untuk membuat pilihan parti mana yang berhak menerajui pemerintahan, serta menukar kerajaan yang dirasakan tidak lagi mampu menjaga kepentingan rakyat.
Sebelum tercetusnya gerakan reformasi sehinggalah kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), masyarakat Melayu bersifat agak pasif dalam memberikan reaksi, khususnya yang berunsur penentangan.
Namun, UMNO sering menjadikan sejarah mengenai keadaan ekonomi masa lalu seperti terbukanya lapangan kerja, pemberian dana dan bantuan sebagai rasionaliti untuk rakyat terus memberikan sokongan kepada mereka.
Parti itu juga sering memanipulasikan kontrak sosial dalam Perlembagaan untuk terus melekakan orang Melayu, sekali gus menjadikan hegemoni pemerintah bertambah kuat untuk terus memberikan taat setia kepada UMNO.
Namun, seperti diketahui ramai beberapa isu membabitkan rasuah, salah guna kuasa dan ketidakadilan sepanjang beberapa dekad pemerintahan menjadikan parti keramat orang Melayu itu ditolak rakyat.
Justeru, bagi mengembalikan semula sokongan Melayu terhadap UMNO, parti itu harus melakukan orientasi politik yang baharu.
UMNO perlu berjiwa besar untuk melakukan perubahan secara holistik. Kepemimpinan UMNO perlu mengikis jiwa penaung yang terlalu hegemonik, sehingga langsung tidak boleh menerima teguran daripada akar umbi.
Teguran daripada rakyat pula sering dilabelkan sebagai pendukung kuasa luar, antisistem, tidak patriotik dan sebagainya.
UMNO tidak harus berterusan menggunakan sejarah lampau sebagai satu-satunya modal untuk menarik sokongan orang Melayu.
Penolakan orang Melayu terhadap UMNO kerana parti itu sendiri dilihat begitu hegemonik.
Penguasaan sebahagian besar veteran politik dalam UMNO juga meletakkan parti itu terus-menerus berada pada takuk yang lama.
Perlu diakui, kekalahan UMNO dalam PRU-14 adalah manifestasi penolakan rakyat. Ia seharusnya menjadi pendidikan politik yang cukup bermakna kepada UMNO untuk berubah.
Tindakan beberapa pimpinan UMNO mengarahkan Ahli Parlimen parti itu meninggalkan Kabinet juga suatu tindakan yang tidak wajar.
Hakikatnya, UMNO harus mengikis budaya politik lama dan jangan terlalu bernostalgia dengan sejarah pencapaian lalu.
Dalam situasi politik yang begitu tegang, UMNO harus berjiwa besar dengan meletakkan kepentingan serta perpaduan ummah sebagai perkara utama, selain kuasa.
UMNO masih berpeluang besar untuk kembali menerajui tampuk pemerintahan negara pada PRU-15. Syaratnya, parti itu perlulah bersedia untuk mengubah orientasi politiknya dan tidak terlalu bersifat hegemonik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




