UMNO perlu bijak pilih rakan kerjasama, tiada lagi parti dominan – Mohamed Khaled

UMNO perlu bijak pilih rakan kerjasama, tiada lagi parti dominan – Mohamed Khaled

am@hmetro.com.my

Georgetown: Ahli UMNO digesa terus memberi kekuatan kepada parti dan mengekalkan perpaduan serta kesetiaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata suasana politik semasa memerlukan UMNO menerima realiti tiada lagi parti yang boleh menjadi dominan dan boleh bergerak secara tunggal seperti dahulu.

Beliau berkata, sejak awal penubuhan Barisan Nasional (BN), UMNO sendiri tidak pernah bergerak secara solo, sebaliknya kekuatan parti turut bergantung kepada sokongan rakan parti komponen gabungan itu.

“Bagaimana hebat kita letak pemimpin, jika mana-mana parti dalam gabungan BN tidak mampu membawa kaumnya, maka kita akan kalah.

“Jadi, kita perlu menerima hakikat tidak ada mana-mana parti yang dominan, kita perlu fikir dengan siapa kita wajar bekerjasama.

“Zaman ini zaman fleksibel, apabila UMNO bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan, ia hanya perubahan jajaran strategi dan taktik, bukannya prinsip dan nilai.

“Prinsip dan nilai kita tetap mendukung memperjuangkan Melayu dan agama Islam.

“Ingat, tidak ada mana-mana perikatan (kerjasama parti politik) yang kekal selama-lamanya. Tetapi perjuangan kita, ideologi kita, tidak berubah (kerana) yang berubah, strategi dan taktik,” katanya ketika berucap merasmikan merasmikan Mesyuarat Perwakilan Persidangan UMNO Bahagian Bukit Gelugor 2025 di sini, hari ini.

Mohamed Khaled turut menegaskan UMNO perlu bijak memilih rakan kerjasama menjelang PRU16.

“Kalaulah kita menang besar, pada ketika itu kita putuskanlah nak ‘berkahwin’ dengan siapa.

“Kita kena ada kebijaksanaan, strategi, taktik… Sebab perikatan politik tidak kekal. Tetapi, kita mesti nak menang banyak supaya akhirnya dapat menentukan macam mana bentuk kerajaan selepas PRU16,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menegaskan, kepimpinan tidak pernah melupakan jasa dan pengorbanan Datuk Seri Najib Razak dan parti itu tidak pernah berputus asa memperjuangkan nasib bekas Presidennya.

Namun, katanya. pada masa sama tetap menjunjung tinggi institusi diraja dan perlembagaan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top