Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari bermula tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) memperlihatkan potensi UMNO untuk menang majoriti besar.
Pada masa sama, imej parti politik terutama UMNO amat penting dalam membina hubungan kepercayaan dengan penduduk negeri itu bagi memastikan kemenangan majoritinya.
Kesilapan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, adalah salah menilai situasi politik yang sedang berlaku membabitkan kepemimpinan parti itu hingga akhirnya memberikan persepsi kurang baik ke atas imejnya.
Dalam membicarakan imej parti ada kalanya pemimpin tertinggi terbabit dengan kes mahkamah perlu berehat sementara menunggu kes berkenaan dibicarakan bagi membuktikan sama ada bersalah atau tidak.
Awal minggu ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Sehubungan itu, Majlis Tertinggi UMNO pada 29 Mei 2009 memutuskan ahlinya yang menghadapi dakwaan di mahkamah akan digantung daripada jawatan dalam parti serta-merta. Bagaimanapun, kedudukan mereka itu akan dikembalikan sekiranya didapati tidak bersalah kelak. Ini menunjukkan UMNO amat serius dan tidak akan mengambil ringan soal imej parti.
Golongan anak muda hari ini amat sensitif dengan isu rasuah dan integriti membabitkan pemimpin politik , terutama UMNO. Kaitan imej UMNO dengan kes rasuah dan integriti sudah menjadi agak sebati dalam minda mereka. UMNO boleh jatuh jika kepemimpinan parti itu pada masa ini masih kurang mengambil peduli mengenai isu sabitan kes di mahkamah.
Walaupun kes Ahmad Zahid masih belum terbukti bersalah, adalah wajar jika beliau direhatkan sementara waktu bagi menunggu selesainya kes membabitkan dirinya di mahkamah. Sedikit sebanyak ia dapat memperbaiki rasa kepercayaan kepada UMNO dalam kalangan anak muda.
Ini penting dengan pelaksanaan Undi 18 yang akan membawa lebih 700,000 pengundi baharu untuk mengundi dalam PRN Johor. Golongan belia berusia 18 tahun hingga 30 tahun sememangnya amat kritikal apabila membicarakan isu rasuah dan integriti.
Malah, sepatutnya Datuk Seri Najib Razak juga perlu diarahkan bercuti sebagai Penasihat Barisan Nasional (BN) dan Ketua Bahagian Pekan selepas beliau didapati bersalah oleh mahkamah. Ini selaras dengan tindakan terhadap Ketua Bahagian Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang dilucutkan jawatan pada 16 April 2009 berikutan pendakwaan di mahkamah atas tuduhan membuat kenyataan palsu.
UMNO perlu menunjukkan teladan baik dengan merehatkan presiden parti untuk sementara waktu. Tugas dan amanah presiden masih boleh diteruskan timbalan presiden dan tidak menjadi satu isu sebenarnya dalam perjalanannya sebagai organisasi politik, terutama dalam merangka strategi PRN Johor.
Ini selari dengan strategi UMNO untuk menurunkan calon WALI dalam pilihan raya, iaitu winnable (boleh menang); acceptable (diterima) dan likeable (disenangi). Amalan WALI perlu bermula dari atas, tetapi jika presiden tidak mempunyai ciri WALI, maka komitmen UMNO akan jadi persoalan.
UMNO perlu melihat pada masa kini parti itu sedang dalam proses bangkit semula selepas mengalami perjalanan sukar sejak PRU-14. Kebangkitan UMNO kali ini perlu disinergikan semula dengan imej positif dan tegas dalam pendirian supaya tidak dilihat berat sebelah apabila membabitkan kepemimpinan tertinggi parti itu.
Bagi memantapkan kebangkitan UMNO, ia boleh diibaratkan rumah mahligai dipahat dan dibentuk hampir siap cuma masih belum beratap serta berpintu. Walaupun dilihat amat cantik pandangan rumah itu, perlu beringat dengan anai-anai merobohkan mahligai di suatu masa dulu. Anai-anai ini hanya menunggu masa untuk meruntuhkan semula rumah mahligai baru dibina, terutama dalam PRN Johor.
Bagi menghapuskan anai-anai ini, ia adalah dengan mengurangkan isu yang boleh mengubah persepsi dan imej UMNO terutama dalam PRN Johor. Jika benar UMNO ingin bergerak solo dalam PRN Johor, maka kekuatan terbaik adalah membeli jiwa golongan belia. Ia perlu dibuat dengan menunjukkan usaha serius UMNO sebagai parti berintegriti dan bermaruah.
PRN Johor amat penting untuk UMNO bangkit semula dalam arena politik arus perdana. Ini disebabkan sejarah UMNO bermula di Johor dan kekuatan parti itu juga berpusat di Johor. Malah tidak dinafikan kekuatan MCA juga berpusat di Johor yang turut memainkan peranan penting dalam menyokong kekuatan UMNO yang bermula di Johor.
Seterusnya, pengundi bukan Melayu juga terkesan dengan apa berlaku dalam UMNO. Usaha serius parti itu untuk memberikan kestabilan hakiki ke atas politik tanah air perlu menitikberatkan isu integriti kepemimpinan partinya. Ini disebabkan ia mampu mencalar imejnya dalam kaca mata pengundi bukan Melayu jika tidak ditangani.
Pemimpin UMNO perlu berfikir baik-baik adakah tragedi berlaku dalam PRU-14 ingin diulang semula tatkala parti itu dalam proses kebangkitan, terutama UMNO Johor.
Penulis adalah Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin
Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my
© New Straits Times Press (M) Bhd