am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: UMNO menghormati autonomi yang diberikan kepada UMNO Sabah dan kekal menyerahkan kuasa itu kepada kepemimpinan negeri bagi membuat keputusan berhubung soal parti, termasuk berkaitan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu sudah diketahui dengan jelas oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat dan negeri, termasuk Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau menafikan dakwaan mengatakan keputusan yang dilaksanakan di negeri ini dibuat di peringkat Pusat, sebaliknya menekankan kedua-dua peringkat saling berunding antara satu sama lain.
“Kita saling berunding antara satu sama lain dan saya percaya di bawah kepemimpinan Bung Moktar. Beliau bukan saja berbincang dalam kalangan pemimpin parti di Sabah, tapi juga berbincang dengan kita di Putrajaya.
“Kita sangat menghormati autonomi yang ada di Sabah dan ini memang diketahui oleh Bung Moktar dan kepemimpinan UMNO dan BN,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Gerak17 UMNO Sabah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Sepanggar, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, soal kedudukan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang digantung keahlian dalam UMNO turut diputuskan oleh Bung Moktar selaku Ketua UMNO Sabah.
Katanya, sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu boleh diberi peluang untuk bertanding semula pada PRN17 bergantung kepada keputusan Bung Moktar.
“Mereka (Shahelmey bersama beberapa pemimpin UMNO Sabah) tidak keluar parti dan tidak dipecat, status mereka ialah digantung. Peluang untuk bertanding bergantung kepada kebijaksanaan Bung Moktar,” katanya.
Dalam hal lain, Timbalan Perdana Menteri itu mengulangi peringatannya agar slogan Sabah untuk orang Sabah tidak dibangkitkan demi semangat persekutuan Malaysia.
“Kita tidak mahu ada perasaan ‘regionalistic’ (kewilayahan) yang sangat kental. Kenapa kita perlu bangkitkan perkara itu sedangkan kita perlu antara satu sama lain, jangan bangkitkan perasaan itu.
“Saya fikir kita sebagai sebuah negara yang dibentuk atas semangat Persekutuan Malaysia, perkara itu harus jadi tajuk utama. Kemajuan antara negeri itu saling memerlukan dokongan antara satu sama lain.
“Jangan berfikiran sempit dan jumud sebagaimana seorang pemimpin di Sabah yang menyatakan perkara ini setiap kali pilihan raya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




