UMNO menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu merupakan pendirian konsisten parti sejak awal penubuhan kerajaan tersebut dan tidak pernah berubah.
“Ini merupakan pendirian daripada awal dan kita konsisten sehingga hari ini,” kata beliau dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di ibu negara.

Mengulas lanjut, Asyraf menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor telah terbentuk sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan tidak melibatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan.
Justeru, katanya, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri termasuk Johor.
“Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia di peringkat Persekutuan hakikatnya tidak mengikat mana-mana Kerajaan Negeri termasuk Kerajaan Negeri Johor,” katanya.
Beliau turut menegaskan UMNO mempunyai hak untuk menentukan hala tuju politiknya menjelang mana-mana pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, keputusan UMNO dan Barisan Nasional untuk mempertahankan mandat negeri tidak boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap Kerajaan Persekutuan, sebaliknya merupakan amalan demokrasi yang sah.
“Ia adalah amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan untuk menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam masa sama, UMNO katanya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi memastikan kestabilan politik negara serta kesejahteraan rakyat, namun ia perlu berasaskan keikhlasan dan kepercayaan.
“Apa jua bentuk kerjasama mestilah dilandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan,” tegas beliau.
Mesyuarat MKT UMNO itu turut dihadiri beberapa kepimpinan tertinggi parti termasuk Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Mohamad Alamin, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh.




