UMNO tidak hilang taring, tapi silap pertaruhan – Ahmad Maslan

UMNO tidak hilang taring, tapi silap pertaruhan – Ahmad Maslan

nfazlina@nstp.com.my

Bachok: UMNO menjelaskan dakwaan mengatakan parti itu kini sudah tidak kuat atau hilang taring adalah tidak benar sama sekali.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, sebaliknya berkata UMNO masih relevan dan kuat berdasarkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung sebelum ini.

“UMNO bukan tidak kuat sebagaimana yang diperkata sebaliknya UMNO silap pertaruhan dari segi memilih tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2022.

“Pada ketika itu kita masih berkuasa dan UMNO yang menjadi Perdana Menteri, namun disebabkan kita silap memilih tarikh, kita kalah ke laut yang paling dalam.

“Menerusi beberapa siri PRK iaitu PRK Nenggiri, Pelangai, Tioman, Ayer Kuning, Mahkota, semua kita menang dan itu menunjukkan kita masih kuat,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bachok, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, semua jentera dan ahli diingatkan jangan patah semangat bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

“Beberapa perkara perlu dilakukan UMNO di semua peringkat bagi mengembalikan kemenangan pada PRU16 nanti.

“Antaranya perlu melakukan aktiviti bersama rakyat secara berterusan walaupun kecil, jentera di semua peringkat termasuk veteran perlu berpadu dan bergabung selain perlu memastikan emosi pengundi terkawal.

“Jika kita jaga beberapa elemen ini, insya-Allah momentum kita dalam keadaan terbaik dan akan memperoleh kemenangan pada PRU16 nanti.

“Begitu juga di Kelantan walaupun UMNO tidak menang, namun kita jangan rasa merendah diri dan putus asa kerana tiada apa yang mustahil pada masa akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top