najiy.jefri@hmetro.com.my
“SEBAIK tiba di puncak Gunung Kinabalu, saya rasa lebih hebat berbanding menjadi seorang pelakon. Saya umpama pergi berperang kerana pengalaman waktu itu benar-benar mencabar diri.”
Ini kata pelakon, Sherry Ibrahim yang berjaya menawan gunung tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu di Sabah pada 6 Julai lalu bersama tujuh lagi rakannya sekali gus menjadi pengalaman paling berharga dalam hidupnya.
“Saya belajar lebih menghargai anggota tubuh badan, alam semula jadi dan manusia yang berjuang mencari rezeki dengan memilih pekerjaan sebagai malim gunung. Mereka ini hero sebenar dan perlu dihargai.
“Ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu saya belajar erti bersyukur dan menganggap ada hikmah Allah beri saya peluang untuk daki gunung itu.
“Walaupun ketika dalam perjalanan mendaki ke puncak otot kaki kanan saya koyak dan tak boleh bergerak, tapi saya bersyukur kawan sentiasa ada di sisi. Mereka membantu dan memastikan saya berada dalam keadaan baik.
“Kali pertama juga saya lihat ramai pendaki yang tidak berjaya turun kerana kaki mereka sudah tidak mampu bertahan sehingga mendapatkan khidmat malim gunung. Melihat kepayahan mereka yang berjuang mencari rezeki dengan cara itu, saya kuatkan semangat untuk mendaki sehingga ke puncak,” katanya.
Menurut Sherry, cabaran utama dihadapi sepanjang pendakian itu adalah cuaca hujan dan suhu yang mencapai dua darjah Celsius.
“Saya pergi dalam keadaan tidak bersedia kerana saya bukan aktif mendaki gunung. Saya hanya pernah mendaki Bukit Gasing dua kali. Selebihnya saya berserah saja dan tak sangka berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu.
“Pada waktu itu sudah tidak mampu nak kawal mental dan fizikal. Tambah pula cuaca hujan sehingga suhu mencapai dua darjah Celcius. Ketika tiba di Laban Rata, saya sempat mandi, makan dan berehat sekejap.
“Pada jam 1 pagi kami teruskan pendakian walaupun keadaan waktu itu tidak mengizinkan kerana cuaca hujan. Penjaga kami beritahu agak berbahaya jika nak teruskan tapi kami ambil risiko itu walaupun mengetahui ada kejadian tanah runtuh sebelum ini.
“Saya tiada idea kenapa buat semua ini, ia kerja gila, tapi demi memenuhi permintaan kawan baik saya kuatkan semangat. Cabaran paling dahsyat adalah menahan rasa sejuk, lebih-lebih waktu nak sampai di Summit Trail,” katanya.
Biarpun Sherry memberitahu pengalaman mendaki Gunung Kinabalu akan menjadi pertama dan terakhir buat dirinya, namun ia hanyalah perasaan pada waktu itu saja.
“Ia tidak akan jadi pengalaman pertama dan terakhir kerana ketika menuruni gunung itu saya terus terbayang setiap cabaran yang saya lalui.
“Memang ada perasaan takut sebab keadaan di atas gunung licin dan berbatu, tapi saya berjaya harunginya. Insya-Allah saya akan buat lagi di lokasi lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




