MTQHA ke-64 anjuran Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang menampilkan 92 peserta dari 71 negara terdiri daripada 53 bagi tilawah dan 39 hafazan melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu.
Qari dan qariah Malaysia dinobatkan sebagai johan tilawah al-Quran bagi kategori masing-masing pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 terbabit. Manakala peserta dari Niger muncul sebagai johan dalam kategori hafazan al-Quran lelaki dan wanita.
Majlis tilawah al-Quran diharap dapat menyuntik semangat dan kecintaan kepada umat Islam untuk terus mendampingi al-Quran melalui pembacaan, hafazan serta mentadabbur ayat suci al-Quran.
Hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam Riwayat Imam al-Tirmidhi bermaksud: Daripada Abi Musa al-Ash’ari, beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti al-utrunjah, baunya harum rasanya enak, manakala perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah kurma, tiada bau, tetapi rasanya manis.
Dalam hadis ini ada dua bidalan dan perumpamaan yang boleh dijadikan renungan kepada orang yang mencari hidayah dan petunjuk Allah SWT. Bidalan tersebut ialah:
1. Bidalan orang Mukmin yang membaca al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya.2. Bidalan orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran, tetapi beriman dengan isi kandungannya.
Nabi Muhammad SAW mengumpamakan golongan yang pertama iaitu orang Mukmin yang membaca al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya dengan al-utrunjah iaitu sejenis buah limau yang mempunyai bau yang wangi dan sedap, di samping rasanya yang enak.
Hal ini menunjukkan bahawa golongan Mukmin terbabit adalah terdiri daripada mereka yang sudah sampai tahap kesempurnaan dalam keimanan mereka yang luhur dan murni kepada Allah sama ada dari sudut zahir mahupun batin. (Lihat Al-Sabuni, Muhammad Ali, Min Kunuz al-Sunnah, Dar al-Irshad, Beirut, hlm. 71)
Menurut al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwadhi, golongan Mukmin yang membaca al-Quran itu diumpamakan dengan al-utrunjah kerana buah ini adalah buah terbaik yang memiliki saiz besar, mempunyai rupa yang cantik serta mempunyai rasa enak, kelazatannya dirasai walaupun belum menjamahnya. (Lihat Tuhfat al-Ahwadhi, 8/138-139)
Begitu cantik dan indahnya mereka yang berdamping dengan al-Quran sehingga diibaratkan dengan buah yang enak dan lazat serta mempunyai bau yang amat menyelerakan yang menjadi idaman setiap manusia.
Manakala golongan kedua pula iaitu orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran, tetapi beriman dengan isi kandungannya, Nabi SAW mengumpamakan mereka dengan buah kurma yang mempunyai rasa enak, tetapi tidak mempunyai bau.
Seharusnya diketahui bahawa bau terhadap sesuatu makanan itu adalah pembuka selera kepada makanan terbabit. Seterusnya hal ini menunjukkan golongan mukmin ini adalah terdiri daripada mereka yang suci batinnya kerana penuh keimanan laksana rasa kurma yang sedap, namun pada zahirnya tidak sedemikian kerana mereka tidak membaca ayat Allah, laksana kurma yang tidak mempunyai bau. (Lihat al-Sabuni, Min Kunuz al-Sunnah, hlm 71)
Penggunaan bidalan dan perumpamaan dalam hadis ini amat berkesan kepada mereka yang mendengarnya kerana ia dapat memberikan gambaran amat menarik mengenai kedudukan orang mukmin. Perumpamaan dan kiasan dalam hadis ini dapat memaparkan keimanan secara zahir dan batin yang sukar dikenal pasti.
Keimanan terbabit dijelaskan dengan baik apabila ia diumpamakan dengan sesuatu perkara yang sudah jelas dalam kalangan masyarakat Arab iaitu sejenis buah-buahan yang terdiri daripada utrunjah (sejenis limau) dan kurma.
Melalui bidalan dan kiasan dalam hadis ini, menunjukkan bahawa betapa penting membaca al-Quran kerana fadilat dan ganjarannya amat besar sekali. Oleh itu, semua umat Islam hendaklah beristiqamah dalam membaca, menghayati serta beramal dengan isi kandungan al-Quran supaya jantung hati mereka sentiasa disinari cahaya taufik dan hidayah daripada Allah.
l
Fadilat membaca al-quran
Al-Quran adalah mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad untuk dijadikan panduan kepada seluruh manusia. Pengertian dan definisi al-Quran sudah disepakati oleh ulama sebagai ‘kalam Allah yang mengandungi mukjizat, diturunkan dan diwahyukan kepada Nabi Muhammad, ditulis dalam mushaf, dipindahkan secara mutawatir dan pembacaannya dikira sebagai ibadah. (sila rujuk Al-Zarqani, Manahil al-‘Urfan fi ‘Ulum Al-Qur’an, hlm. 19)
Al-Quran yang diwahyukan Allah adalah bertujuan untuk memberikan hidayah dan pedoman kepada umat manusia supaya dapat hidup dengan sejahtera di dunia dan di akhirat. Oleh demikian adalah tidak wajar bagi seseorang itu hanya membeli al-Quran lantas menyimpan di dalam atau atas almari tanpa dibaca dan diambil pedoman daripadanya.
Ada pula hanya mengenali al-Quran pada bulan Ramadan, tetapi apabila Ramadan berlalu, maka al-Quran sudah tidak dkenali lagi.
Sesungguhnya al-Quran itu apabila dibacanya sahaja pun akan mendapat pahala dan ganjaran di sisi Allah. Nabi SAW menyatakan bahawa setiap huruf daripada al-Quran apabila dibaca, maka digandakan pahala sebanyak sepuluh pahala.
Nabi juga menyatakan bahawa bukan alif, lam dan mim itu dikira sebagai satu huruf, sebaliknya alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. Oleh itu, bagi mereka yang membaca alif, lam, mim sahaja pun akan mendapat sebanyak 30 pahala.
Daripada hadis di atas, amat jelas menunjukkan kepada kita betapa ganjaran dan pahala yang disediakan bagi orang beriman yang membaca al-Quran itu amat banyak dan mudah diperoleh.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan memberi syafaat kepada pembacanya
pada Hari Kiamat.” Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Mereka yang membaca dan mahir al-Quran, ia akan bersama para malaikat pencatat yang mulia. Mereka yang membaca al-Quran, tetapi tidak lancar bacaanya dan susah baginya untuk membaca maka untuknya dua pahala.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
l
Ketenangan jiwa
Tambahan daripada itu, bagi mereka yang menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan harian, ia juga akan menghasilkan ketenangan kepada jiwa.
Tiada sesuatu yang lebih membahagiakan daripada ketenangan yang dimiliki oleh jiwa. Apa gunanya harta berlimpah-ruah dan wang berjuta sekiranya hidup dalam keadaan sengsara dan gundah-gulana.
Firman Allah dalam surah al-Ra’d ayat 28 bermaksud: “Bukankah dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang”. Antara cara paling berkesan untuk mengingati Allah ialah dengan membaca ayat suci al-Quran.
l
Ubat hati
Setiap penyakit ada ubatnya. Namun, ramai orang hanya menumpukan kepada penyakit jasmani dan fizikal sahaja, maka apabila salah satu anggota badannya sakit sama ada demam, selesema, sakit kepala, darah tinggi, kencing manis, sakit jantung atau sebagainya, maka doktor, klinik dan hospital segera dicari supaya dapat diubati penyakit yang dihidapi secepat mungkin. Tetapi, bagaimana cara mengubati penyakit hati? Penyakit hati lebih berbahaya daripada penyakit fizikal kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi apabila ia menghinggapi seseorang, ia merebak begitu cepat sehingga boleh menghancurkan diri seseorang itu di dunia dan di akhirat kelak.
Akibat tidak memberikan perhatian kepada penyakit hati, maka begitu ramai dalam kalangan masyarakat Islam sendiri yang mempunyai penyakit hati yang kronik seperti hasad dengki, dendam, ujub, sombong, takabbur dan sebagainya. Lalu, apa cara paling ampuh dan berkesan bagi merawat penyakit hati? Tidak lain dan tidak bukan, cara paling berkesan merawat hati adalah dengan berdamping dengan ayat Allah melalui kitab suci al-Quran.
Tokoh sufi bernama Ibrahim al-Khawwas menyatakan bahawa ubat bagi hati itu antaranya ialah membaca al-Quran dengan penuh penghayatan dan tadabbur.
Sehubungan itu, mari sama-sama kita membaca, meneliti serta memahami kandungan dan pengertian yang disampaikan dalam al-Quran.
Penulis Mufti Pulau Pinang
© New Straits Times Press (M) Bhd




