Umpan RM500, warga emas terpedaya sindiket penipuan rugi RM100,000

Umpan RM500, warga emas terpedaya sindiket penipuan rugi RM100,000

am@hmetro.com.my

Temerloh: Seorang warga emas kerugian RM100,000 selepas diperdaya sindiket penipuan mendakwa untuk membantu mangsa mendapatkan bantuan kewangan kerajaan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, mangsa berusia 78 tahun bertemu dua lelaki tidak dikenali di sebuah restoran di Bera, pada Khamis (18 Disember) lalu.

Menurutnya, ketika pertemuan itu suspek menawarkan khidmat membantu lelaki terbabit untuk mendapat bantuan kerajaan.

“Bagi meyakinkan mangsa, suspek menyerah RM500 kepada warga emas terbabit kononnya pemberian itu sebagai sumbangan kerajaan.

“Suspek kemudian menawarkan kepada mangsa menyertai program palsu kononnya ditawarkan kerajaan.

“Mereka mempengaruhi mangsa membayar RM100,000 dan akan menerima keuntungan 20 peratus setiap bulan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Nasyim berkata, selepas terpengaruh dengan keuntungan lumayan ditawarkan itu kedua-dua suspek terus membawa membawa mangsa ke bank.

Menurutnya, warga emas terbabit kemudian membawa keluar wang simpanan RM100,000 dan menyerah kepada suspek.

Bagaimanapun katanya, sebaik mendapat wang itu kedua-dua suspek bertindak melarikan diri meninggalkan mangsa di bank.

“Mangsa membuat laporan sehari selepas kejadian dan polis sedang mengesan suspek dan meminta masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan sebarang tawaran kewangan ditawarkan individu tidak dikenali,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun, sebatan serta denda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top