UMSC bantu tiga rumah kebajikan

UMSC bantu tiga  rumah kebajikan

UM Specialist Centre (UMSC), hospital bertaraf kuaternari dan pusat rujukan perubatan kompleks negara memperkukuh komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program UMSC with You sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-27.

Terbaharu, UMSC menganjurkan edisi ketiga program itu tahun ini di Multicare Nursing Home hasil kerjasama erat bersama Persatuan Kebajikan Pusat Jagaan Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras.

Pada program berkenaan, UMSC menyumbang RM45,000 kepada Persatuan Kebajikan Pusat Jagaan Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras untuk disalur kepada tiga rumah kebajikan iaitu Persatuan Kebajikan Rumah Victory Malaysia, Pusat Aktiviti Warga Emas Paya Jaras dan Multicare Nursing Home.

Inisiatif itu bukan saja membuktikan komitmen UMSC dalam menyokong pelbagai segmen masyarakat, malah memberi manfaat kepada lebih 150 penghuni rumah kebajikan.

Sebagai nilai tambah, ketiga-tiga rumah kebajikan terbabit menerima sumbangan kelengkapan seperti katil, barang keperluan harian dan inisiatif landskap taman.

Tidak ketinggalan, Mitchell Care Home, rumah kebajikan di Petaling Jaya menerima sumbangan katil hospital sebagai tanda sokongan terhadap kesejahteraan penghuni di rumah berkenaan.

Program itu diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, penyampaian cek dan kit kebersihan, penyerahan sudut air pancut mini dan sudut taman herba serta acara memotong kek sebagai tanda penghargaan dan jalinan mesra bersama komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif UMSC, Norzaiton Senusi berkata, sebagai hospital pakar yang ditubuhkan di Kuala Lumpur lebih dua dekad lalu, UMSC percaya menjadi institusi perubatan bukan sekadar merawat pesakit tapi menyantuni komuniti.

Katanya, menjadikan kesejahteraan dan kelestarian komuniti sebagai keutamaan UMSC akan terus mengorak langkah dalam memenuhi tanggungjawab sosial kepada komuniti terutama di Petaling Jaya.

“Program CSR tahun ini membawa makna lebih mendalam apabila dilaksana seiring komitmen UMSC terhadap prinsip environmental, social, and governance (ESG), khususnya dalam aspek Tiada Kemiskinan, Sifar Kelaparan, Kesihatan & Kesejahteraan, serta Perkongsian untuk Matlamat.

“Program UMSC with You ini juga bukan sekadar memenuhi tuntutan tanggungjawab sosial tetapi mencerminkan nilai teras UMSC yang berasaskan kepedulian, kasih sayang dan kemanusiaan,”katanya.

Norzaiton berkata, sumbangan kelengkapan fasiliti diberi kepada rumah kebajikan itu bukan sahaja memperluas manfaat rawatan, malah disusuli dengan inisiatif mewujudkan landskap taman yang tenang bagi meningkatkan kualiti hidup penghuni.

“Sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan swasta untuk semua peringkat umur, kami percaya CSR bukan sekadar pelengkap, tetapi sebahagian komitmen holistik kami terhadap pembangunan lestari.

“Kami percaya dalam dunia yang semakin mencabar ini setiap sumbangan tidak kira besar atau kecil mampu memberi sinar harapan.

“Oleh itu, inisiatif seperti ini akan diteruskan dan kami akan memastikan komuniti setempat khususnya terus menerima manfaat daripada kewujudan UMSC di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Penguasa Hal Ehwal Am Persatuan Kebajikan Rumah Victory Malaysia, Loo Choon Teong berkata, sumbangan diterima pihaknya cukup bermakna dan tepat pada masanya.

Menurutnya, pihaknya baru saja selesai membesarkan ruang dan menerima penghuni baru.

Justeru, mereka sangat memerlukan keperluan harian terutama katil.

“Dengan bantuan itu, ia tidak hanya meringankan beban terutama kos operasi, tetapi memberi keselesaan kepada penghuni.

“Menerusi program ini, semua sumbangan diberi bersesuaian dengan keperluan kami kerana UMSC tahu tahu apa yang kami perlukan. Jadi, tiada pembaziran,” katanya yang kini mempunyai 76 penghuni di rumah kebajikannya.

Program bantuan pihak hospital memainkan peranan penting dalam memperbaiki kehidupan masyarakat, meningkatkan kesihatan dan menyediakan bantuan kepada individu memerlukan.

“Oleh itu, saya harap hospital atau pihak swasta dapat contohi inisiatif UMSC kerana ia dapat membantu melancarkan operasi dan memberi keselesaan terbaik kepada penghuni,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top