Pelakon dan penyanyi, Puteri Khareeza, 26, berkongsi khabar gembira apabila kini sedang hamil enam bulan.
Puteri nama penuhnya Puteri Aszfaryna Khareeza Arif memaklumkan kesihatannya sepanjang kehamilan berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang alahan yang teruk.
“Alhamdulillah, saya tidak berdepan dengan ‘morning sickness’ sejak trimester pertama. Tiada muntah-muntah.
”Saya dapat tahu mengandung sebab lambat datang bulan dan buat ujian kehamilan,” katanya.
Puteri ditemui XTRA dalam sidang media malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 yang berlangsung di Bangsar pada malam Khamis.
Tambah Puteri, dia tidak berniat untuk merahsiakan kehamilan tersebut, tetapi memilih untuk lebih berhati-hati berikutan pengalaman keguguran yang pernah dialami hujung tahun lalu.
“Saya keguguran Disember tahun lalu. Ketika itu, usia kandungan tujuh minggu. Sebab itulah kali ini, saya tak mahu beritahu lebih awal.
”Sekarang pula memang tidak boleh dirahsiakan kerana perut makin membesar dan sudah rasa mengah. Ramai beritahu sudah nampak ‘baby bump’, jadi, saya beritahu sahajalah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Puteri Khareeza turut mengakui sudah mengetahui jantina bayi namun memilih untuk tidak mendedahkannya buat masa ini.
Untuk rekod, Puteri dan suaminya, Mohd Shukor Khamaruddin, telah melangsungkan perkahwinan pada 24 Februari 2024.