Umur bukan halangan, Welbeck terus berbisa di usia 34 tahun

Umur bukan halangan, Welbeck terus berbisa di usia 34 tahun

Brighton: Danny Welbeck muncul wira Brighton apabila menjaringkan dua gol, termasuk gol kemenangan lewat permainan ketika menewaskan Newcastle United 2-1 dalam aksi dramatik di Stadium Amex, semalam.

Menariknya, pengurus Brighton, Fabian Hurzeler mengakui beliau sebenarnya sedang merancang untuk mengeluarkan Welbeck sebelum penyerang berusia 34 tahun itu menjaringkan gol keduanya.

“Secara jujur, memang saya sedang memikirkan untuk menggantikannya sebelum itu.

“Kemudian dia mengejutkan saya sekali lagi. Kredit buatnya. Kadang-kadang dalam hidup ini, semua bergantung kepada masa yang tepat dan kali ini, memang kena pada waktunya,” katanya selepas perlawanan.

Welbeck yang bakal berusia 35 tahun bulan depan, jelas masih belum menunjukkan tanda-tanda memperlahankan rentak walaupun sudah memasuki fasa penghujung karier.

Malah, statistik menunjukkan dia menjaringkan lebih banyak gol per perlawanan dalam usia 30-an (0.36) berbanding ketika usia belasan atau 20-an.

Selepas menikmati musim terbaiknya di Liga Perdana (EPL) tahun lalu, Welbeck kini meneruskan prestasi cemerlang dengan dua kali meledak dua gol menentang Chelsea dan terbaru Newcastle.

“Saya masih ada semangat dan cinta terhadap bola sepak.

“Inilah yang saya mahu lakukan. Saya rasa sihat, kuat dan cergas, jadi saya belum mahu berhenti dalam masa terdekat,” katanya.

Tidak hairanlah dia dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas aksi cemerlang itu.

Welbeck membuka jaringan dengan sentuhan kemas apabila melambungkan bola melepasi penjaga gol Newcastle, Nick Pope, sebelum memastikan kemenangan lewat permainan dengan rembatan dari luar kotak penalti.

Gol keduanya hadir ketika Newcastle sedang mencari gol kemenangan selepas Nick Woltemade menyamakan kedudukan dengan sepakan tumit yang cantik. Namun pengalaman Welbeck terserlah apabila dia pantas menyambar bola muntah selepas percubaan Mats Wieffer dihalang Dan Burn.

“Sentiasa ada kemungkinan bola akan jatuh kepada saya. Saya cuma menunggu peluang itu dan apabila ia datang, saya tak lepaskan,” kata Welbeck.

Welbeck sememangnya dikenali dengan kemampuan menjaringkan gol penting 11 daripada 12 gol terakhirnya di EPL sama ada meletakkan Brighton di depan (lapan gol) atau menyamakan kedudukan (tiga gol).

Kemenangan kali ini juga adalah gol kemenangan kelima menentang pasukan Newcastle yang sebelum ini memiliki rekod pertahanan terbaik bersama dalam liga.

Menariknya, Welbeck juga sering menjadi duri dalam daging Newcastle dengan beberapa jaringan penting menentang pasukan itu dalam tempoh setahun kebelakangan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top