am@hmetro.com.my
Seremban: Baru sekali menunaikan tanggungjawab mengundi sebagai warganegara, wanita berusia 88 tahun yang baru mendapat kad pengenalan biru tidak mahu melepaskan peluang untuk mengundi buat kali kedua, hari ini.
Malah, wanita warga emas itu sanggup menempah teksi dan datang ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd Said di sini sendirian untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
M Krishnama berkata, kesukaran untuk bergerak kerana tidak mempunyai pengangkutan bukan alasan untuknya tidak menunaikan tanggungjawab istimewa sebagai rakyat Malaysia itu.
“Saya tinggal seorang diri dan tiada kereta, sebab itu saya datang naik teksi. Anak-anak pula tinggal di tempat lain.
“Sebelum ini saya pemegang kad pengenalan merah. Selepas menunggu lama, akhirnya saya memperoleh kad pengenalan biru ketika berusia 75 tahun dan ini adalah kali kedua saya mengundi,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, dia memang teruja untuk mengundi sejak dari muda sebagai tanggungjawab yang perlu ditunaikan setiap rakyat Malaysia.
Dakwanya, proses untuk memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia mengambil masa yang lama, namun dia tidak pernah berputus asa dan amat menghargai peluang yang diberikan dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Saya bangga menjadi rakyat Malaysia. Jadi, apabila tiba waktu pilihan raya, saya wajib keluar mengundi walaupun terpaksa bersusah payah keluar ke pusat mengundi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




