UMWT tubuh TGR Racing Malaysia

UMWT tubuh TGR Racing Malaysia

lizamridzuan@hmetro.com.my

UMW Toyota Motor (UMWT) melangkah ke fasa baharu dalam arena sukan permotoran apabila menubuhkan TGR Racing Malaysia, pasukan perlumbaan yang bakal bersaing dalam kelas GT4 bagi musim 2026 Thailand Super Series.

Penyertaan itu sekali gus menandakan kemunculan sulung Toyota Malaysia dalam perlumbaan GT peringkat serantau, selain memperluaskan lagi penglibatan jenama itu dalam pembangunan sukan permotoran tempatan.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata penubuhan pasukan berkenaan adalah evolusi seterusnya bagi perjalanan Toyota GAZOO Racing (TGR) di Malaysia.

“Budaya perlumbaan menjadi asas penting kepada Toyota dalam meningkatkan mutu serta prestasi jentera, selain menjadi platform untuk membangunkan bakat tempatan dalam industri sukan permotoran.

“Sejak diperkenalkan, Toyota GAZOO Racing berkembang sebagai platform yang menyatukan komuniti perlumbaan serta melahirkan bakat baharu. Penyertaan dalam perlumbaan GT serantau ini adalah langkah seterusnya untuk mengangkat standard sukan permotoran Malaysia.

Penubuhan TGR Racing Malaysia turut bersandarkan pengalaman lebih lapan musim penganjuran Toyota GAZOO Racing Vios Challenge sejak 2017 yang menjadi medan pembangunan bakat pemandu tempatan serta kepakaran teknikal pasukan.

Bagi musim 2026 Thailand Super Series GT4, pasukan itu akan mempertaruhkan empat pelumba tempatan iaitu Shaun Thong, Weiron Tan, Nazim Azman dan Putera Adam, yang akan digandingkan bersama kru teknikal serta operasi berpengalaman dari Malaysia dan Jepun.

Di litar, pasukan berkenaan akan menggunakan dua jentera GR Supra GT4 EVO2, dibangunkan oleh Toyota GAZOO Racing Europe yang menampilkan peningkatan prestasi termasuk sistem brek, talaan suspensi serta penambahbaikan sistem penyejukan dan kalibrasi ABS.

Musim Thailand Super Series 2026 dijadual bermula dengan ujian pramusim pada 22 hingga 23 April di Litar Antarabangsa Chang sebelum pusingan pembukaan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei di lokasi sama, diikuti beberapa pusingan lain termasuk di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top