Uncle Mike tak tolak jodoh di usia senja

Uncle Mike tak tolak jodoh di usia senja

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Michael Tong, 56, atau disapa Uncle Mike yang kisah hidupnya diangkat ke layar perak menerusi filem Abah Saya Uncle Mike tidak terkilan hidup membujang hingga sekarang demi membesarkan tiga anak angkatnya.

Mike berkata, status dirinya yang tidak berkahwin itu juga bukan satu beban untuk difikirkan kerana sudah bahagia menjalani kehidupan bersama anak-anak, menantu dan dua cucu.

“Jodoh itu urusan Tuhan. Cuma, sekarang hati saya sudah bahagia dengan dua orang cucu. Malah, anak-anak (angkat) saya, Rafei, Rasyid dan Rahman pun sudah dibesarkan dengan baik.

“Hasrat utama saya memang nak lihat mereka bertiga mendapat kasih sayang yang penuh dan hidup bahagia. Saya bersyukur dengan apa yang Tuhan berikan ini,” katanya.

Mike berkata, dia bagaimanapun tidak menolak jodoh sekiranya pada usia yang sudah melewati 50 tahun itu dipertemukan Tuhan dengan wanita sesuai.

“Kalau memang ada jodoh yang Tuhan tetapkan juga untuk saya, terima saja. Tapi jika tak ada pun, tidak mengapa sebab saya tak fikirkan sangat untuk berkahwin.

“Pada saya, tak semestinya bila Tuhan tak beri kita jodoh, kita akan marah dan rasa sedih. Hidup perlu diteruskan kerana ia sudah diatur cantik sebenarnya. Bersyukurlah,” katanya.

Filem Abah Saya Uncle Mike mengangkat kisah kekeluargaan dan kasih sayang lelaki itu yang membesarkan tiga anak angkat yatim piatu sejak 17 tahun lalu.

Filem arahan Ezrie Gazali itu dibintangi Andy Teh, Idan Aedan, Merah Muhaimin, Umar Shakur dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top