London: Manchester City bakal bertemu seteru tradisi Liverpool dalam aksi tumpuan suku akhir FA Cup, manakala Arsenal bertandang ke gelanggang Southampton.
Undian pusingan lapan terakhir yang dijalankan awal pagi tadi turut menyaksikan Chelsea beraksi di laman sendiri menentang kelab Port Vale, yang mencipta kejutan apabila menewaskan Sunderland 1-0 pada pusingan kelima Ahad lalu.
Sementara itu, West Ham United, yang menyingkirkan Brentford 5-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2, akan menjadi tuan rumah kepada Leeds United.
Namun tumpuan utama pastinya terarah kepada pertemuan Manchester City dan Liverpool yang sekali lagi menemukan dua gergasi bola sepak England itu.
Skuad kendalian Pep Guardiola sudah menewaskan Liverpool dua kali musim ini, menang 3-0 di Manchester pada November lalu sebelum mencatat kemenangan 2-1 di Anfield Februari lalu.
Ini juga pertemuan pertama kedua-dua kelab dalam Piala FA sejak Liverpool menang 3-2 pada aksi separuh akhir 2022.
Liverpool yang menewaskan Wolverhampton Wanderers 3-1 pada pusingan 16 terakhir pernah menjulang trofi Piala FA sebanyak lapan kali, kali terakhir empat tahun lalu.
Manchester City pula yang menundukkan Newcastle United 3-1 pada pusingan kelima sudah memenangi trofi itu tujuh kali dengan kejayaan terakhir pada 2023.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal mara ke suku akhir selepas menewaskan Mansfield Town 2-1.
Pasukan kendalian Mikel Arteta itu bakal bertemu Southampton yang sebelum ini mengejutkan Fulham dengan kemenangan 1-0.
Undian suku akhir Piala FA:
Southampton lwn Arsenal
Chelsea lwn Port Vale
Manchester City lwn Liverpool
West Ham lwn Leeds
Semua perlawanan dijadual berlangsung sekitar hujung minggu 4 hingga 5 April.
© New Straits Times Press (M) Bhd




