saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kejayaan beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King muncul juara Terbuka Macau, semalam akan memberi impak cukup besar bagi mereka menghadapi Kejohanan Dunia di Paris, Perancis pada 25 hingga 31 Ogos ini.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, pencapaian terbaru itu bakal melonjakkan kedudukan ranking Wan Arif-Roy King yang kini berada di ranking ke-24 dunia.
“Satu pencapaian yang cukup baik buat Roy King dan Wan Arif apabila menjadi juara di Terbuka Macau walaupun hanya bertaraf (Super) 300.
“Namun, kejayaan itu dapat meningkatkan keyakinan diri mereka untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Paris nanti.
“Sudah pasti kedudukan ranking mereka akan naik sedikit dan mungkin akan mendapat status pilihan. Yang paling penting, kejayaan di Macau ini boleh memberi suntikan keyakinan yang lebih tinggi,” katanya.
Pada aksi final semalam, Wan Arif-Roy King menampilkan aksi meyakinkan untuk menundukkan pasangan nombor lapan dunia dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 22-20, 21-18 dalam perlawanan yang berlangsung di Macao East Asian Games Dome.
Kemenangan itu membolehkan Wan Arif-Roy King meraih kejuaraan sulung Jelajah Dunia dan membalas dendam ke atas Gutama-Pahlevi yang mengalahkan mereka dalam final Masters Sepanyol tahun lalu.
Aksi final itu terganggu apabila terpaksa dihentikan beberapa kali berikutan masalah air menitik dari sistem pendingin hawa yang menyebabkan permukaan gelanggang menjadi licin.
Herry memuji ketenangan yang ditunjukkan Arif-Roy King sepanjang menghadapi situasi itu apabila kekal fokus sehingga hujung perlawanan.
“Keadaan itu memang pelik, tetapi saya beritahu pemain agar terus fokus kerana perlawanan sering terhenti dan ia menyukarkan pemain.
“Kedua, saya minta mereka untuk lebih bersabar, jangan mudah emosi dan bertindak terburu-buru.
“Saya tidak mahu ia mempengaruhi permainan mereka. Di set kedua, gandingan Indonesia nampaknya terpengaruh dan sedikit emosi melihat situasi di gelanggang yang tidak bagus,” katanya.
Kemenangan Arif-Roy King membolehkan mereka membawa pulang wang tunai AS$29,230 (RM123,825), manakala Gutama-Pahlevi meraih AS$14,060 (RM59,561).
© New Straits Times Press (M) Bhd




