am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perjanjian Kuala Lumpur Accord (KL Accord) yang akan ditandatangani antara Thailand dan Kemboja, esok menggariskan keperluan untuk kedua-dua negara mengundurkan senjata berat masing-masing dan memusnahkan periuk api yang ditanam di sempadan kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia adalah antara perkara penting yang akan dicapai melalui perjanjian berkenaan bagi memastikan gencatan senjata yang dipersetujui antara Thailand dan Kemboja pada Julai lalu dapat dikekalkan.
Mohamad menjelaskan, KL Accord bukan perjanjian damai, sebaliknya adalah perjanjian gencatan senjata dan mengenai penubuhan pasukan pemerhati ASEAN di kawasan yang bergolak.
“Kita mahu supaya tiada lagi pelanggaran gencatan senjata selepas dipersetujui kedua-dua Perdana Menteri yang datang (ke Malaysia) kerana selepas 28 Julai itu, walaupun gencatan senjata diadakan, terdapat juga pelanggaran kecil.
“Kita harap supaya gencatan senjata ini berkekalan dan kita menyeru kedua-dua negara berunding untuk mereka menyelesaikan masalah sempadan ini.
“Malaysia tidak akan campur tangan dalam perkara persempadanan dua negara ini dan Malaysia menghormati piagam ASEAN, iaitu tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara masing-masing,” katanya pada sidang media selepas menghadiri siri mesyuarat Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di sini, hari ini.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyaksikan perjanjian KL Accord yang akan ditandatangani antara Thailand dan Kemboja, esok.
Mengenai sama ada Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul akan hadir menandatangani perjanjian itu, selepas beliau menangguhkan kehadirannya ke Malaysia hari ini berikutan kemangkatan Bonda Ratu Thailand, Ratu Sirikit Kitiyakara, Mohamad memaklumkan, Charnvirakul akan tiba di Malaysia malam ini.
Beliau berkata, masa bagi majlis menandatangi perjanjian itu, bagaimanapun tidak dapat dipastikan buat masa ini kerana ia bergantung kepada jadual Trump.
Selepas gencatan senjata dipersetujui pada 28 Julai lalu, perbincangan diadakan di peringkat sekretariat antara Thailand dan Kemboja yang membincangkan terma rujukan (TOR) pemantauan oleh Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN interim dan Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN (AOT), yang seterusnya membawa kepada Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) pada 7 Ogos.
Dalam Mesyuarat Luar Biasa di Kuala Lumpur itu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata dengan teguh di sepanjang sempadan bersama mereka, dengan kedua-dua pihak mengekalkan kedudukan anggota tentera sedia ada serta tidak menambah kekuatan ketenteraan.
Pada 10 September lalu, 10 pegawai daripada Pasukan Pemerhati Interim (IOT) berlepas ke Kemboja bagi melaksanakan misi pemantauan terhadap perjanjian gencatan senjata antara negara itu dengan Thailand.
© New Straits Times Press (M) Bhd




