Ungkit wang hantaran, lelaki bakar isteri hidup-hidup depan anak

Ungkit wang hantaran, lelaki bakar isteri hidup-hidup depan anak
Hari bahagia Nikki dan Vipin ketika melangsungkan perkahwinan pada Disember 2016. Foto Agensi

Hari bahagia Nikki dan Vipin ketika melangsungkan perkahwinan pada Disember 2016. Foto Agensi

LUCKNOW – Seorang wanita dipukul dan dibakar hidup-hidup suami dan ahli keluarga mentuanya yang mengungkit tentang wang hantaran setelah berkahwin selama sembilan tahun.

Kejadian menggemparkan itu yang turut disaksikan anak mangsa berusia enam tahun berlaku di perkampungan Sirsa, Greater Noida, Uttar Pradesh di India pada Khamis lalu.

Dua klip memaparkan insiden malang menimpa Nikki yang berumur dalam lingkungan 30-an itu juga menjadi tular di media sosial dan meraih perhatian warganet.

Salah satu daripada rakaman itu jelas menunjukkan rambut mangsa ditarik dan dia kemudiannya diheret tanpa belas kasihan sebelum tubuhnya dituang dengan cecair mudah terbakar.

Difahamkan, salah seorang saksi utama ialah kakaknya, Kanchan yang juga berkahwin dengan adik-beradik suami mangsa.

“Adik bongsu saya dibunuh suaminya, Vipin dan mentua kerana tidak dapat memberikan wang hantaran berjumlah 3.6 juta rupee (RM174,285). Kami diseksa dengan teruk selama berhari-hari. Mentua kami mahu menghalau Nikki supaya Vipin boleh berkahwin lagi,” katanya.

Nikki yang mengalami kesan melecur teruk disahkan meninggal dunia sebelum sempat dirawat di Hospital Safdarjung.

Susulan itu, pihak berkuasa telah mengarahkan post-mortem dilakukan terhadap mayatnya.

Agensi berita ANI melaporkan Vipin yang cedera ketika cuba melarikan diri daripada polis langsung tidak menyesali perbuatannya.

“Saya tidak lakukan apa-apa. Dia mati dengan sendiri. Pergaduhan suami dan isteri merupakan perkara biasa serta terjadi di mana-mana,” ujarnya.

Keluarga Vipin ternyata tamakkan harta meskipun bapa Nikki dan Kanchan telah memberikan model SUV Scorpio, basikan Bullet (Royal Enfield), wang tunai, emas dan barangan berharga lain ketika majlis perkahwinan mreka.

“Kedua-dua ibu bapa kami cuba memenuhi permintaan mereka, namun keluarga mentua kami tidak gembira. Mereka berterusan menghina hadiah kami yang didakwa murah,” menurut Kanchan lagi. – Agensi

Scroll to Top