syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lagu berjudul Sirih Pulang Ke Gagang, ciptaan sepenuhnya Akmal Mustafa dan Aniq Muhai yang dinyanyikan oleh kumpulan Unic diumumkan sebagai Lagu Terbaik pada Anugerah Carta 114 musim kedua sekali gus membawa pulang hadiah utama RM20,000.
Anggota Unic, Fitri Haris berkata, ini adalah satu kejutan buat mereka walaupun mereka tidak berpeluang untuk berlatih bersama kerana kekangan komitmen, kebersamaan mereka menjadi kunci utama.
“Perasaan kami bercampur baur dan tak percaya. Kami bersatu buat pertama kali di atas pentas sebab masing-masing ada komitmen. Saya baru sampai dari United Kingdom semalam
“Semasa latihan, secara berasingan. Ini rezeki Allah dan malam ini menyaksikan kami bersatu di pentas tanpa latihan bersama. Kami sempat berlatih dalam kereta.
“Ini bukti 23 tahun keserasian yang dapat kami bentuk walaupun tidak bersama. Hati dan perjuangan kami bersama walaupun ada perubahan drastik yang orang tak tahu.
“Di situlah saya nak tekankan, kebersamaan sangat penting. Alhamdulillah, dalam tak percaya, kami bersyukur dan terima kasih kepada yang mendoakan,” katanya kepada Harian Metro.
Selain hadiah utama, Unic yang dianggotai Fitri, Bazli dan Fakhrul juga membawa pulang Anugerah Vokal Terbaik dan wang tunai RM10,000.
Sementara itu, kumpulan Darwish menerima Anugerah Persembahan Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM10,000 menerusi lagu Abu Ubaidah ciptaan sepenuhnya Faiz Darwish.
Selain Unic dan Darwish, lima peserta lain yang berentap di pentas Anugerah Carta 114 yang berlangsung malam tadi adalah Kumpulan Rabithah, Kumpulan Madinah, Haadi, Idris Shamsuddin, dan duo Halim Ahmad dan Aiman Sidek.
Anugerah Carta 114 dijurikan tiga barisan juri diketuai Farihin Abd Fatah, Amran Omar dan Razin Mestica.
Selain persembahan peserta, penonton turut dihiburkan dengan persembahan oleh kumpulan nasyid legenda, Rabbani.
© New Straits Times Press (M) Bhd




