KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan penjenamaan semula Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dengan nama baharu, Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS).
Penjenamaan itu sekali gus menjadikannya universiti al-Quran pertama di Malaysia.
Pengumuman bersejarah tersebut berlangsung di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota di sini malam tadi sempena malam Nuzul al-Quran iaitu tarikh istimewa bagi umat Islam memperingati peristiwa penurunan ayat pertama al-Quran.
Pemilihan tarikh itu membawa makna yang begitu signifikan kerana selari dengan aspirasi universiti untuk menjadikan al-Quran sebagai teras pembangunan ilmu dan pembinaan tamadun.
Lebih bermakna lagi, pengumuman tersebut dibuat sambutan ulang tahun perkahwinan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada majlis itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyerahkan surat pertukaran nama universiti kepada Sultan Pahang. Surat tersebut diserahkan pula oleh baginda kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai simbolik pengisytiharan rasmi universiti terbabit.
Naib Canselor UNIQSAAS, Profesor Datuk Dr. Mohd. Zawavi Zainal Abidin berkata, penjenamaan semula itu bukan sekadar perubahan nama, malah mencerminkan suatu transformasi menyeluruh dalam hala tuju universiti.
Lebih istimewa lagi katanya, peristiwa bersejarah tersebut berlaku sempena sambutan 30 tahun penubuhan institusi ini sejak 1996.
Beliau menjelaskan bahawa UNIQSAAS membawa aspirasi “Hudan Linnas”, iaitu menjadikan al-Quran sebagai teras utama dalam semua bidang ilmu dan pembangunan insan.
“Aspirasi ini bertujuan mengangkat martabat al-Quran bukan sahaja sebagai kitab ibadah, bahkan sebagai sumber panduan ilmu yang menyeluruh meliputi aspek akidah, syariah, akhlak, kemasyarakatan, kepimpinan dan pembangunan tamadun,” katanya. – UTUSAN




