Unit Risikan Operasi JSPT dan MPOB rampas minyak masak diseleweng

Unit Risikan Operasi JSPT dan MPOB rampas minyak masak diseleweng

mhafis@mediaprima.com.my

Puchong: Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak yang beroperasi di sebuah kilang, di sini, Jumaat lalu, malah turut membuat rampasan berjumlah RM212,200.

Serbuan dijalankan menerusi Op Sawit diketuai Pegawai Turus Risik Operasi JSPT Bukit Aman Asisten Superintendan Mohd Rizam Surani bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) selepas mengekori sebuah lori yang berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar Klang, Selangor, 4 petang, Jumaat lalu, dan diekori sehingga ke sebuah premis di Puchong.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya kemudian menahan pemandu lori terbabit iaitu lelaki tempatan berusia 36 tahun serta seorang lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai penjaga premis.

“Pemeriksaan ke atas lori terbabit menemukan empat tong berisi kira-kira 4,000 liter minyak sawit selain seunit pam.

“Pemeriksaan lanjut di dalam premis menemukan kira-kira 500 kilogram minyak sawit terpakai selain kira-kira 13,500 liter minyak sawit mentah dalam lima tangki,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Kesemua rampasan dibawa ke Pejabat MPOB Wilayah Selatan untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Kaedah 5 Peraturan-Peraturan LMSM (Pelesenan) 2005 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top