
Smith Rowe meledak jaringan penyamaan buat Fulham yang mengikat United di Craven Cottage. FOTO AGENSI
GERGASI England, Manchester United terus tercari-cari kemenangan pertama musim ini apabila diikat Fulham 1-1 dalam aksi mendebarkan Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage pada Ahad.
The Red Devils bimbingan Ruben Amorim terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas pemain gantian Fulham, Emile Smith Rowe, menyamakan kedudukan sebaik dimasukkan biarpun mendahului hasil jaringan sendiri Rodrigo Muniz.
Gol penyamaan pantas itu hanya 93 saat selepas bekas bintang Arsenal tersebut diturunkan menjadi tamparan hebat buat skuad Amorim yang kini mengutip satu mata daripada dua perlawanan.
Lebih mengecewakan, kapten Red Devils, Bruno Fernandes gagal menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama apabila bola tendangannya melambung tinggi, biarpun penjaga gol Bernd Leno yang juga bekas pemain Arsenal sudah tertewas.
United sebelum itu terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-56 apabila tandukan Leny Yoro terkena belakang Muniz, sekali gus menerjah gawang Fulham.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Smith Rowe yang bijak membaca hantaran silang Alex Iwobi menolak masuk gol penyamaan yang menggamatkan Craven Cottage.
Fulham kemudian tampil lebih agresif, memaksa United bertahan hampir sepanjang 15 minit terakhir perlawanan, namun gagal mencari gol kemenangan.
Peluang terakhir United hadir menerusi Harry Maguire pada minit ke-87, tetapi tandukannya tersasar.