Manchester: Manchester United dilaporkan masih bersedia memberikan masa kepada Ruben Amorim untuk memperbaiki prestasi pasukan biarpun ditewaskan Manchester City dalam aksi derby di Stadium Etihad, Ahad lalu.
Pengendali dari Portugal itu, yang hampir genap setahun mengambil alih jawatan selepas pemergian Erik ten Hag, kini mencatat permulaan terburuk kelab dalam tempoh 33 tahun.
United sekali lagi rapuh apabila tumbang 0-3 kepada Manchester City di Stadium Etihad, kekalahan yang menyaksikan mereka sekadar mengutip empat mata daripada empat perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Selepas menamatkan musim lalu di tangga ke-15, Amorim terus berada dalam tekanan besar untuk membawa perubahan.
Sejak dilantik November lalu, Amorim hanya meraih lapan kemenangan liga sebagai pengendali United dan enggan mengubah pendekatan taktikalnya biarpun keputusan tidak memihak.
Meskipun masalah semakin meruncing, pihak pengurusan United tidak akan terburu-buru menyingkirkan seorang lagi pengurus. Bagaimanapun, menurut Manchester Evening News (MEN), satu sumber rapat dengan Amorim mengakui ‘amat mengejutkan apabila kedudukannya tidak benar-benar terancam’.
Amorim kekal berpegang kepada formasi 3-4-3 walaupun sistem itu dilihat gagal berfungsi atau sesuai dengan barisan pemain yang dimilikinya.
“Ia bukan rekod yang sepatutnya dimiliki Manchester United. Saya terima itu, tetapi saya tidak akan berubah.
“Apabila saya mahu ubah falsafah saya, saya akan lakukannya, tetapi jika tidak, anda kena ubah pengurusnya.
“Kita akan bercakap perkara sama setiap kali kalah. Saya bermain dengan cara saya, dan saya akan terus bermain dengan cara saya sehingga saya mahu mengubahnya.”
Tekanan terhadap pengendali dari Portugal itu semakin meningkat selepas hanya mencatat lapan kemenangan daripada 31 perlawanan EPL sejak mengambil alih tugas daripada Erik ten Hag pada November lalu.
Namun, menurut sumber Amorim masih mendapat kepercayaan pihak pengurusan dan dijangka terus diberi peluang membimbing skuad The Red Devils ketika menanti kunjungan Chelsea di Old Trafford, Sabtu ini.
Selepas itu, United akan berdepan Brentford dan Sunderland sebelum rehat antarabangsa Oktober, namun tiada tempoh masa ditetapkan berhubung sokongan pengurusan terhadap Amorim.
Sumber turut mendedahkan bahawa meskipun keputusan perlu diperbaiki segera, pihak atasan percaya ada peningkatan berbanding musim lalu.
Menjelang aksi hujung minggu lalu, pasukan Amorim berada di kedudukan teratas dalam beberapa statistik Liga Perdana termasuk jangkaan jaringan (xG), jumlah percubaan dan sentuhan dalam kotak penalti lawan.
Malah, United turut mencatat penguasaan bola lebih tinggi daripada City di Etihad selain memiliki jumlah percubaan hampir sama.
Perkara itu menimbulkan pandangan dalam kalangan pengurusan bahawa United sekadar menjadi mangsa ‘jurang kecil’ dalam beberapa perlawanan awal musim ini.
United kini menghuni tangga ke-14 liga selepas hanya mengutip empat mata daripada empat perlawanan pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




