United perlu fokus buru tiket Eropah – Mount

United perlu fokus buru tiket Eropah – Mount

Manchester: Pemain tengah Manchester United, Mason Mount mengakui bahawa layak ke saingan Eropah menjadi tumpuan utama pasukan itu bagi musim 2025-26.

Musim ini menyaksikan United tidak akan beraksi dalam mana-mana kejohanan Eropah, kali kedua sejak kelab-kelab England digantung penyertaan oleh UEFA pada era 1980-an susulan tragedi Heysel.

Kekalahan kepada Tottenham Hotspur di final Liga Europa musim lalu serta penamat di kedudukan ke-15 Liga Perdana Inggeris (EPL) menyebabkan Old Trafford tidak akan menjadi gelanggang aksi Eropah buat pertama kali sejak musim 2014-15.

“Saingan Eropah amat penting untuk kami.

“Sudah tentu kami mahu bermain di Liga Juara-Juara (UCL), tetapi secara keseluruhan, bermain di pentas Eropah menjadi fokus utama buat kami sebagai satu pasukan,” katanya.

Pasukan bimbingan Ruben Amorim itu menyedari mereka perlu memperbaiki prestasi musim lalu selepas ketinggalan 23 mata di belakang Nottingham Forest yang menduduki tangga ketujuh tempat terakhir kelayakan Eropah melalui kedudukan liga.

Setakat ini, United sudah membelanjakan lebih £125 juta (RM787 juta) untuk mendapatkan penyerang Matheus Cunha dari Wolves dan Bryan Mbeumo dari Brentford.

Kelab itu juga terus dikaitkan dengan beberapa penyerang lain termasuk penyerang Aston Villa, Ollie Watkins, dan pemain Chelsea, Nicolas Jackson.

Spekulasi itu turut membabitkan pemain sayap Alejandro Garnacho yang dikatakan menjadi sebahagian daripada tawaran pertukaran.

Namun, sumber dalaman United menegaskan tiada sebarang perpindahan yang hampir dimuktamadkan ketika ini, manakala Villa pula secara peribadi menegaskan Watkins tidak akan dijual.

Skuad utama United kini berada di Amerika Syarikat bagi menyertai kempen Siri Musim Panas Liga Perdana yang membabitkan tiga perlawanan menentang West Ham, Bournemouth dan Everton.

Sementara itu, beberapa pemain yang tidak lagi mendapat tempat seperti Garnacho, Jadon Sancho, Antony dan Tyrell Malacia dilaporkan menjalani latihan di kompleks latihan Carrington.

Real Betis dilaporkan masih berminat membawa semula Antony selepas tempoh pinjaman yang berjaya musim lalu, manakala Juventus terus mengintai peluang mendapatkan Sancho, namun perlu melengkapkan pengguguran pemain terlebih dahulu sebelum boleh membuat sebarang tawaran rasmi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top