United, Spurs terdesak juarai Liga Europa

United, Spurs terdesak juarai Liga Europa

Bilbao, Sepanyol: Manchester United dan Tottenham Hotspur akan berentap pada final Liga Europa, awal pagi Khamis ini dengan masing-masing terdesak untuk memburu kejuaraan bagi menyelamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) yang hambar sekali gus meraih tiket ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan.

Habuan lumayan £100 juta (RM482 juta) berpotensi menanti pasukan yang layak ke pertandingan elit Eropah itu dalam pertembungan di Stadium San Mames antara dua kelab yang kini bergelut di bahagian bawah liga Inggeris.

Skuad Red Devils kendalian Ruben Amorim kini di tangga ke-16 dan mencatat 18 kekalahan liga, musim paling buruk mereka dalam setengah abad, sejak penyingkiran mereka pada 1974.

Satu anak tangga di bawah pula ialah Tottenham pimpinan Ange Postecoglou, yang mengalami 21 kekalahan liga, rekod terburuk kelab itu sejak kembali ke liga utama pada 1978.

Dengan kedua-dua pasukan memfokuskan usaha mereka ke Eropah, kemerosotan mereka di liga domestik semakin parah sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

United gagal menang dalam lapan perlawanan liga terakhir, rekod terburuk mereka dalam sejarah EPL, termasuk kekalahan di tangan Chelsea pada Jumaat lalu.

Tottenham pula tewas di tangan Aston Villa, menjadikan lima kekalahan dalam enam perlawanan liga terakhir mereka.

Spurs pernah menjuarai kejohanan ini dua kali, namun kejuaraan terakhir Eropah mereka adalah pada 1984, dan mereka tidak memenangi sebarang trofi dalam 17 tahun.

Mereka pernah layak ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama pada 2019, namun tewas kepada Liverpool dalam aksi hambar sesama wakil England di Sepanyol.

“Melihat latar belakang sejarah kelab ini sejak dua dekad lalu, saya rasa (final ini) boleh menjadi titik perubahan,” kata Postecoglou minggu lalu.

Walaupun United terus merosot sejak era Sir Alex Ferguson berakhir pada 2013, mereka masih sempat menjuarai Piala FA dan Piala Liga dalam dua musim lalu di bawah bekas pengurus Erik ten Hag.

Namun, Amorim bergelut sejak mengambil alih pada November dengan hanya enam kemenangan dalam 26 perlawanan liga.

Namun begitu, kempen Liga Europa United lebih menyerlah apabila menewaskan Real Sociedad dan Athletic Bilbao, serta mencipta kebangkitan epik menewaskan Lyon 7-6 secara agregat selepas ketinggalan 4-6 di suku akhir, mengimbas kenangan keajaiban 1999.

“Saya tidak terlalu bimbang tentang final ini, kerana ini sebenarnya masalah paling kecil dalam kelab ini,” kata bekas bos Sporting Lisbon itu.

“Kita perlu ubah sesuatu yang jauh lebih mendalam daripada ini.”

Tottenham sebelum ini bukan ancaman besar kepada United. Namun musim ini, Spurs menewaskan United dalam ketiga-tiga pertemuan, dua kali dalam liga dan sekali di Piala Liga.

Postecoglou belum tewas dalam lima pertemuan menentang United.”Kalau fikir dari segi kebarangkalian, susah untuk satu kelab tewas empat kali berturut-turut,” kata Amorim.

Dengan pemain berpengalaman seperti Bruno Fernandes dan Casemiro, United memiliki kelebihan dari segi pengalaman dan kualiti.

“Mereka tahu bagaimana nak menang trofi, Tottenham tidak,” kata bekas pemain tengah United, Paul Scholes.

Walaupun prestasi liga sangat mengecewakan, Amorim dijangka kekal menerajui pasukan, disokong oleh kejayaan mereka dalam Liga Europa.

Sebaliknya, masa depan Postecoglou lebih tidak menentu. Jurulatih Australia itu berkemungkinan besar akan dipecat jika gagal menunaikan janji membawa pulang trofi pada musim keduanya.

Malang buat Spurs musim ini apabila, beberapa pemain utama seperti James Maddison, Lucas Bergvall dan Dejan Kulusevski terlepas final kerana kecederaan tetapi kapten Son Heung-min disahkan kembali cergas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top