London: Pengendali sementara Manchester United, Michael Carrick sempat tersenyum apabila ditanya mengenai sorakan yang bergema di Old Trafford pada Ahad ketika ribuan penyokong melaungkan namanya di tepi padang.
United bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Crystal Palace 2-1. Bagi Carrick yang menghabiskan lebih sedekad mengemudi bahagian tengah kelab itu, laungan berkenaan cukup bermakna.
Di bawah kendaliannya, United tidak tewas dalam tujuh perlawanan dan kembali berada dalam kelompok tiga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak Mei 2023.
“Ya, sudah tentu ia sesuatu yang menggembirakan.
“Tempat ini sangat bermakna buat saya. Melihat suasana positif dan penyokong menikmati setiap perlawanan, serta saya dapat memainkan peranan dalam perkara itu, saya akui ia satu perasaan yang baik,” kata Carrick.
Carrick, 44, yang beraksi bersama United dari 2006 hingga 2018, sudah membimbing pasukan mencatat enam kemenangan dan satu keputusan seri sejak dilantik selepas Ruben Amorim dipecat pada 5 Januari.
Namun, beliau pantas merendah diri dan tidak mahu mengambil semua pujian.
“Saya rasa pemain layak menerima banyak kredit atas apa yang mereka pamerkan di atas padang. Ia bukan usaha saya semata-mata.
“Hubungan dengan penyokong sangat penting. Sokongan mereka, walaupun selepas permulaan yang agak perlahan, dan cara kami menamatkan perlawanan, memang bermakna buat saya,” kata Carrick.
Benjamin Sesko muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi tandukan hasil sepakan percuma tepat Bruno Fernandes yang turut menyumbang satu gol menerusi sepakan penalti.
“Ia kemenangan besar. Kami ketinggalan dan perlu menunjukkan karakter,” kata Fernandes.
“Masih banyak perlawanan berbaki dalam perebutan kelompok empat teratas. Penting untuk kami tidak berasa selesa. Kami perlu mengutip sebanyak mungkin mata.”
Gol itu adalah jaringan ketujuh Sesko dalam lapan perlawanan semua pertandingan serta yang ketiga berturut-turut, sekali gus meneruskan prestasi cemerlang yang seiring dengan kebangkitan Carrick.
Carrick tidak mahu terlalu terbawa-bawa dengan situasi semasa, namun beliau tidak menyembunyikan rasa terujanya.
“Perjalanannya masih panjang, dia masih muda. Tetapi dia menunjukkan prestasi yang sangat baik ketika ini. Saya benar-benar teruja melihat sejauh mana dia mampu pergi.”
Kemenangan terbaharu itu bukan sahaja mengukuhkan usaha United untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara (UCL), malah menguatkan lagi kredibiliti Carrick untuk diberikan jawatan pengurus secara tetap.
Kejayaannya itu juga semakin menyerlah selepas berjaya menewaskan Palace yang dibimbing Oliver Glasner, antara calon awal yang disebut-sebut bagi menggantikan Amorim sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




