UNSC adakan mesyuarat tergempar bincang hasrat Israel tawan Gaza

UNSC adakan mesyuarat tergempar bincang hasrat Israel tawan Gaza
Antonio Guterres - Foto AFP

Antonio Guterres – Foto AFP

NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan sesi tergempar pada Ahad bagi membincangkan hasrat Israel untuk menawan dan menduduki Bandaraya Gaza, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyifatkan rancangan Israel itu sebagai “peningkatan konflik yang berbahaya” dalam konflik 22 bulan di Semenanjung Gaza. Rancangan yang diluluskan Kabinet Keselamatan Israel pada Jumaat itu mencetuskan bantahan antarabangsa.

Negara-negara Eropah dalam Majlis Keselamatan – Denmark, Perancis, Greece, United Kingdom dan Slovenia – meminta mesyuarat tergempar itu diadakan di New York.

Menurut laman berita bebas Security Council Report, semua anggota Majlis Keselamatan kecuali Amerika Syarikat (AS) menyokong cadangan itu.

Semasa sesi yang bermula pada 10 pagi (1400 GMT) itu, negara anggota akan bertukar pandangan dan pelapor PBB dijangka menggariskan kemungkinan akibat daripada penawanan bandar utama Gaza itu.

Berikutan keputusan Israel itu, Jerman, United Kingdom (UK), Itali, New Zealand dan Australia secara bersama menolak rancangan untuk menduduki Bandaraya Gaza. Dalam kenyataan oleh kementerian luar negara masing-masing, mereka memberi amaran bahawa serangan itu akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan, membahayakan nyawa tawanan dan boleh membawa kepada pemindahan besar-besaran orang awam.

Mereka menegaskan bahawa penyelesaian dua negara kekal sebagai satu-satunya jalan ke arah keamanan berkekalan antara Israel dan Palestin.

Canselor Jerman Friedrich Merz turut menghentikan eksport peralatan ketenteraan ke Israel yang boleh digunakan di Gaza. – Bernama

Scroll to Top