GAZA: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sekali lagi berjumpa hari ini, ketika tekanan antarabangsa makin meningkat supaya konflik Israel-Palestin diselesaikan segera.
Israel berterusan melakukan pengeboman dan serangan ganas sehingga menghasilkan letusan bebola api dan kepulan asap memenuhi ruang udara Palestin, laporan wartawan AFP.
Meskipun ada tuntutan untuk menghentikan keganasan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam berkata regim Zionis itu akan terus melakukan serangan menyasarkan pengganas.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, serangan udara didalangi Israel setakat ini mengorbankan 213 rakyatnya termasuk 61 kanak-kanak dan mencederakan lebih 1,400 orang di Gaza.
Pejuang Palestin turut melancarkan sekitar 3,350 roket ke arah Israel, menyaksikan sepuluh orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak, dakwa pihak berkuasa Israel.
Bunyi siren terus kedengaran di selatan Israel sepanjang pagi, memaksa beberapa keluarga melarikan diri ke tempat perlindungan bom.
Mesyuarat UNSC kali ini adalah yang keempat sejak konflik bermula lebih seminggu dan setiap kali, Amerika Syarikat (AS) yang juga sekutu utama Israel, menghalang sebarang ketetapan atau resolusi dibuat berhubung konflik itu.
Menurut tentera Israel hari ini, pihaknya menyerang puluhan sasaran di dalam Gaza sejak tengah malam tadi, sementara pejuang Palestin melancarkan 70 roket, namun sebahagian besar dipintas oleh pertahanan udara Iron Dome Israel.
Konflik itu juga mencetuskan krisis kemanusiaan apabila PBB melaporkan hampir 40,000 rakyat Palestin terpaksa dipindahkan dan 2,500 orang lagi kehilangan tempat tinggal.
Jet pejuang Israel juga melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap ‘metro’ iaitu istilah pejuang Hamas bagi terowong bawah tanah di kawasan sempadan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




