KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih syarikat ternakan ayam Leong Hup International Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 meningkat kepada RM70.33 juta daripada RM21.79 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Pendapatannya meningkat 16.9 peratus kepada RM1.68 bilion berbanding RM1.43 bilion sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata prestasi yang lebih baik itu disebabkan hasil yang lebih tinggi dari Indonesia, Filipina dan Malaysia.
“Peningkatan hasil terutamanya didorong oleh harga jualan purata yang lebih tinggi dan jumlah jualan anak ayam serta ayam daging, juga pengembangan saluran perniagaan ke pelanggan hiliran sejak Jun 2020,” kata kumpulan itu.
Ia memaklumkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan daripada ternakan dan produk yang berkaitan ternakan lain telah meningkat 1,461.6 peratus disebabkan margin yang lebih baik yang terhasil daripada harga jualan purata yang lebih tinggi anak ayam dan ayam daging.
Melangkah ke hadapan, kumpulan itu berkongsi bahawa semua negara yang ia beroperasi dijangka mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar pada tahun 2021.
“Dengan peningkatan lingkungan operasi dan dengan vaksinasi COVID-19 yang dilancarkan oleh kerajaan di seluruh rantau, tanpa mengambil kira keadaan yang tidak dijangkakan, syarikat itu optimis dengan prestasinya pada tahun 2021.
“Kumpulan ini memiliki kecairan yang cukup untuk beroperasi dan berada di kedudukan yang baik untuk merebut peluang ketika pasaran sedang pulih,” tambahnya.
– Bernama
© New Straits Times Press (M) Bhd




