PETALING JAYA: BMS Holdings Berhad (BMS), peruncit dan pengedar jubin, permukaan batu, barangan bilik air dan dapur mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM4.47 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BMS berkata, prestasi suku berkenaan dipengaruhi perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja berjumlah RM1.25 juta yang ditanggung sempena penyenaraian di Pasaran ACE.
Tanpa mengambil kira kos tidak berulang itu, PAT terlaras dianggarkan mencecah RM5.71 juta, bersamaan margin PAT terlaras 6.05 peratus.
Selain itu, BMS Holdings mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.2 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, melibatkan jumlah kira-kira RM3.08 juta.
Tarikh kelayakan ditetapkan pada 5 Mac 2026, manakala pembayaran dijadualkan pada 3 April 2026.
Pengarah Urusan BMS Holdings, Ang Kwee Peng berkata, berikutan penyenaraian syarikat baru-baru ini, suku tahun ini mewakili peralihan penting ke dalam kehidupan sebagai syarikat tersenarai awam.
“Walaupun terdapat perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja, operasi teras kami kekal menguntungkan dan menjana tunai, disokong oleh permintaan yang stabil merentasi segmen runcit dan projek.
“Profil margin kami terus mencerminkan kekuatan campuran produk dan disiplin operasi kami,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku kedua tahun kewangan 2026, BMS turut merekodkan hasil sebanyak RM94.39 juta, disokong oleh permintaan runcit yang stabil serta sumbangan lebih kukuh daripada jualan berkaitan projek.
Keuntungan kasar berjumlah RM31.45 juta, dengan margin keuntungan kasar 33.32 peratus, mencerminkan disiplin penetapan harga dan pengurusan kos yang berkesan merentasi rangkaian runcit dan pengedarannya.
Selain itu, dengan sebahagian besar perbelanjaan penyenaraian diselesaikan dalam suku kedua 2026, BMS Holdings menjangkakan prestasi pada suku-suku berikutnya akan mencerminkan keadaan operasi yang kembali normal seiring usaha syarikat mengembangkan operasi perniagaannya.
Secara kumulatif bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2025, BMS Holdings mencatatkan hasil RM179.20 juta, keuntungan kasar RM60.07 juta dan PAT RM9.86 juta.
Setelah diselaraskan bagi perbelanjaan penyenaraian, PAT kumulatif terlaras dianggarkan berjumlah RM11.32 juta, sekali gus menonjolkan daya tahan asas pendapatan syarikat.
Melihat ke hadapan, BMS kekal optimis dengan berhati-hati tentang prospeknya untuk baki tahun kewangan ini.
“Permintaan untuk produk penutup permukaan dan pembaikan rumah terus disokong oleh aktiviti pembangunan kediaman dan bukan kediaman yang berterusan, kerja-kerja pengubahsuaian, dan penggunaan domestik yang stabil.
“BMS Holdings akan terus menumpukan pada pengembangan jejak runcitnya, mengoptimumkan logistik dan kecekapan pergudangan serta meluaskan penawaran produknya dengan penekanan pada penyelesaian bernilai lebih tinggi dan berorientasikan reka bentuk.
“Berasaskan rangkaian pengedaran seluruh negara yang mantap, rangkaian produk yang pelbagai dan kawalan kos yang berhemat, BMS menjangkakan prestasi perniagaannya akan kekal berdaya tahan sambil meletakkan dirinya untuk pertumbuhan yang mampan pada suku akan datang,” ujarnya. – UTUSAN



