PETALING JAYA: UOB Malaysia berjaya mengumpul RM2.29 juta menerusi acara tahunannya, UOB Heartbeat Run 2026 yang akan disalurkan kepada empat penerima manfaat utama.
Ia akan disumbangkan kepada Yayasan SOLS, Yayasan PINTAR, Food Aid Foundation dan HOPE Worldwide Malaysia, selain menyokong inisiatif tanggungjawab sosial korporat Bank di seluruh Malaysia yang memberi tumpuan kepada seni, kanak-kanak dan pendidikan.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Datuk Ng Wei Wei berkata, memasuki tahun ke-18 di Malaysia, UOB Heartbeat Run terus menunjukkan apa yang boleh tercapai apabila masyarakat berganding bahu demi membawa perubahan.
“Sikap pemurah serta komitmen warga kerja, pelanggan dan rakan kongsi kami membolehkan UOB menyokong program yang diterajui rakan benefisiari bagi menangani keperluan komuniti yang kritikal, daripada meningkatkan sekuriti makanan kepada memperkasa belia melalui pendidikan digital dan kemahiran masa depan.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif UOB Heartbeat yang lebih luas di seluruh ASEAN dan rantau lain, kami terus komited untuk mewujudkan impak yang bermakna dan berkekalan dalam komuniti yang kami berkhidmat,” katanya dalam kenyataan.
Dalam tempoh dua bulan menjelang UOB Heartbeat Run, pelbagai aktiviti amal termasuk bazar makanan, jualan amal dan kelas kecergasan telah diadakan bagi menyumbang kepada jumlah kutipan keseluruhan.
Program itu kemudiannya mencapai kemuncak di Pavilion Bukit Jalil, di mana kira-kira 5,000 pekerja, pelanggan dan rakan kongsi telah hadir untuk menjadi sukarelawan, mengumpul dana dan mengambil bahagian dalam acara larian tersebut.
Beliau berkata, dana yang dikumpul akan menyokong program yang diterajui benefisiari yang membantu membina masa depan yang lebih mampan melalui pendidikan, selain meningkatkan kualiti hidup komuniti kurang mendapat perhatian di seluruh Malaysia.
Katanya, antara inisiatif yang akan disokong termasuk penajaan 50 belia kurang berkemampuan untuk mengikuti program vokasional Solar Academy melalui Yayasan SOLS, penyediaan sistem solar rumah kepada komuniti luar grid serta pemasangan panel solar di rumah kebajikan kanak-kanak.
“Dana tersebut juga akan menyokong HOPE Worldwide Malaysia, Food Aid Foundation, Yayasan PINTAR dan tujuan amal lain dengan tumpuan kepada pembinaan masyarakat inklusif serta pembangunan komuniti yang mampan melalui pendidikan digital, sekuriti makanan dan program yang menggalakkan daya tahan serta kesejahteraan mental.
“Secara keseluruhan, program-program ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 kanak-kanak, belia dan keluarga yang kurang mendapat perhatian di seluruh Malaysia,” ujarnya.
UOB Heartbeat Run merupakan sebahagian daripada komitmen lebih luas UOB untuk menciptaimpak sosial jangka panjang bagi golongan yang kurang mendapat perhatian.
Selain UOB Heartbeat, Bank terus melabur dalam program yang mewujudkan impak sosial jangka panjang, khususnya dalam pendidikan dan keterangkuman digital. Pada awal tahun ini, UOB melancarkan UOB My Digital Space (MDS) di Malaysia.
Program itu memperkasa pelajar untuk menggunakan teknologi secara yakin dan bertanggungjawab dengan memperkukuh pemikiran kritis serta literasi digital mereka.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif serantau yang dijangka menjangkau lebih 100,000 pelajar di seluruh ASEAN, MDS kini berkembang sebagai program berbilang tahun di Malaysia, sekali gus menyokong usaha negara memperkukuh keterangkuman digital dan menyediakan generasi akan datang untuk ekonomi digital. – UTUSAN
