Upah jurulatih peribadi untuk aksi lebih hebat

Upah jurulatih peribadi untuk  aksi lebih hebat

am@hmetro.com.my

Sekian lama mendambakan peluang berlakon dalam filem bergenre aksi impian pelakon, Hisyam Hamid akhirnya tercapai menerusi naskhah Black: Ops.

Hisyam atau pemilik nama Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 41, berkata, meskipun pernah terbabit dalam filem bertemakan korupsi, namun naskhah itu lebih mementingkan aspek drama dan jalan cerita berbanding aksi fizikal yang berat.

“Boleh dikatakan ini (Black: Ops) adalah filem pertama saya yang bergenre aksi sepenuhnya. Kali ini sedikit berbeza. Bayangkan untuk satu turutan babak aksi sahaja, kami sudah menghabiskan masa selama lapan hingga sembilan hari di Klang,” katanya.

Meskipun terpaksa berdepan jadual penggambaran yang padat sehingga hanya mampu melelapkan mata selama tiga jam, Hisyam, sedikitpun tidak mengeluh kerana menyifatkan peluang bekerjasama dengan Skop Productions itu sebagai satu rezeki yang tidak dijangka.

“Inilah saat yang saya tunggu-tunggu. Saya tak boleh nak ‘complaint’ (merungut) walaupun penat. Saya tak merungut sebab saya memang nak sangat buat filem aksi.

“Kita tahu produk keluaran mereka semuanya hebat-hebat dan sebagai pelakon, sudah tentu kita mahu terlibat dalam projek filem yang gah seperti ini,” katanya.

Walaupun sering dilabel sebagai lelaki romantis dalam drama yang dilakonkannya, Hisyam nekad untuk lari daripada imej terbabit demi membuktikan kemampuan sebenarnya sebagai pelakon aksi.

“Ketika saya dapat mesej tentang tawaran filem ini, saya nak masukkan duit dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM). Punyalah saya teruja, sampai saya terlupa nak ambil semula kad daripada mesin duit itu,” katanya kepada Harian Metro.

Menyedari diri sebagai ‘orang baharu’ dalam filem bergenre aksi, Hisyam sanggup mengupah jurulatih peribadi (personal trainer) demi memastikan kualiti lakonannya setanding dengan pelakon aksi sedia ada.

“Kalau tengok pelakon lain, saya rasa saya yang paling baharu dalam dunia aksi. Mereka semua hebat-hebat, boleh ‘terbang’ dan tendang dalam babak aksi.

“Jadi saya kena pastikan tahap saya setara dengan mereka. Saya tak mahu bila masuk set penggambaran, saya nampak ketinggalan dalam melakukan babak aksi,” katanya lagi.

Tambah Hisyam, dia tidak pernah berasa rugi atau malu untuk mempelajari perkara baharu walaupun sudah mempunyai nama yang kukuh dalam industri seni tanah air.

“Kadang-kadang kita memang kena melabur untuk diri sendiri. Macam sebelum ini untuk filem Memori, saya ada pergi kelas lakonan. Walaupun ada yang kata saya dah lama berlakon dan tak perlukan semua itu, bagi saya setiap projek adalah berbeza.

“Sangat penting untuk ada perspektif orang ketiga yang boleh tunjuk ajar dan tegur kelemahan kita. Sama juga macam naskhah aksi kali ini.

“Saya tahu kelemahan saya mungkin dalam babak pertarungan dan badan saya pun taklah begitu ‘sado’. Itulah sebab utama saya ambil inisiatif sendiri untuk upah jurulatih peribadi,” kongsinya lagi.

Mengulas lanjut mengenai cabaran di set penggambaran, Hisyam mengakui bekerja di bawah arahan pengarah, Syafiq Yusof memerlukan stamina yang luar biasa disebabkan sifat pengarah itu yang sangat teliti.

“Secara jujurnya, kerisauan saya untuk filem ini lebih kepada aspek turutan pertarungan dan babak aksi berbanding babak lakonan biasa. Bila berlakon dalam filem ini saya rasa macam atlet bukan pelakon.

“Memang hari-hari akan ada babak sebegitu. Kalau hari yang banyak dengan babak bergaduh, memang rasa ‘terbakar’ kalori. Setakat hilang 800 ribu kalori sehari itu, perkara biasalah bagi saya,” ujarnya.

Selain itu, Hisyam menyifatkan tawaran filem aksi terbaharunya sebagai satu rezeki yang tepat pada waktunya apabila dia sudah pun melakukan persiapan fizikal sejak beberapa bulan lalu.

“Kebetulan sebelum memulakan filem ini, saya terlibat dalam sebuah lagi filem aksi lain yang menggunakan khidmat ‘stunt team’ yang sama. Jadi, saya sebenarnya sudah berlatih dengan mereka sejak empat bulan yang lepas.

“Jadi, apabila saya ditawarkan untuk membintangi filem Syafiq Yusof ini, saya hanya menyambung terus latihan sedia ada,” katanya.

Tambah Hisyam, tempoh latihan yang panjang itu secara tidak langsung menjadi ‘bekalan’ terbaik buatnya untuk memberikan komitmen penuh terhadap tuntutan babak pertarungan yang lebih mencabar.

Sementara itu, Hisyam turut berkongsi, dia sanggup melepaskan dua tawaran drama demi memberikan komitmen sepenuhnya terhadap projek filem itu yang dianggap sebagai peluang terbaik melebarkan profil kerjaya seninya.

“Tawaran filem ini datang secara mengejut dan tidak disangka-sangka. Ketika itu, saya sebenarnya masih lagi dalam proses penggambaran sebuah lagi filem aksi yang lain.

“Disebabkan jadual yang bertembung, saya terpaksa menolak dua tawaran drama. Mujurlah penerbit drama berkenaan adalah kawan-kawan saya, jadi mereka sangat memahami.

“Ini antara projek yang sangat saya nantikan. Alhamdulillah, mereka (penerbit drama) tidak berkecil hati malah memberikan sokongan penuh kepada saya untuk fokus dalam naskhah ini,” katanya.

Selain Hisyam, filem Black Ops arahan Syafiq Yusof ini turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Datuk Aaron Aziz, Andy Teh, Elizabeth Tan dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top