[UPDATE] Pegawai kerajaan maut ditikam suami: Suspek serah diri selepas kejadian

[UPDATE] Pegawai kerajaan maut ditikam suami: Suspek serah diri selepas kejadian

am@hmetro.com.my

Nilai: Seorang wanita maut dipercayai dibunuh suaminya di sebuah unit rumah kakitangan kerajaan dekat Jalan Kuarters KLIA, di sini, malam ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 8.30 malam sebelum pasukan digegaskan ke lokasi.

“Maklumat awal yang kami terima membabitkan kes bunuh seorang wanita berusia 35 tahun yang juga kakitangan kerajaan.

“Berdasarkan siasatan awal buat masa ini mangsa dibunuh suaminya. Suspek dikatakan menyerah diri di balai polis selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan maklumat lanjut berhubung kejadian akan dimaklumkan esok.

Terdahulu, seorang lelaki dipercayai suspek dibawa polis masuk ke kediaman lokasi kejadian jam 11.30 malam dalam keadaan bergari sebelum dilihat keluar lebih kurang 20 minit kemudian.

Mayat mangsa dibawa keluar dari lokasi kejadian pada jam 12.10 tengah malam sebelum dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk prosedur bedah siasat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top