am@hmetro.com.my
Penampang: Penyertaan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (UPKO) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu memperkukuh kestabilan politik negeri disamping memantapkan kerjasama parti tempatan dalam usaha membangunkan Sabah.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penyertaan UPKO dalam gabungan itu yang diputuskan Majlis Tertinggi GRS pada 8 Jun lalu, adalah perkembangan positif dalam landskap politik negeri.
“Permohonan UPKO untuk menyertai GRS diterima dengan hati terbuka kerana langkah itu diyakini mampu memperkukuh kerjasama antara parti tempatan.
“Sebenarnya, apabila kita menerima permohonan daripada UPKO untuk menyertai GRS, kita melihat itu sebagai satu petanda positif dalam perkembangan politik di Sabah dan kita menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-32 UPKO dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, malam ini.
Hajiji berkata, kestabilan politik akan memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk memberi tumpuan terhadap agenda pembangunan rakyat, kemakmuran ekonomi serta kemajuan infrastruktur.
“Dengan jaminan kestabilan politik, sudah pasti lebih mudah untuk kerajaan negeri memberi fokus kepada agenda pembangunan rakyat, kemakmuran ekonomi negeri dan kemajuan infrastruktur di Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh pimpinan dan ahli UPKO untuk bersama-sama menjayakan wawasan Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper, selain memperkukuh perpaduan serta kerjasama semua parti komponen GRS.
Hajiji berkata, beliau menghargai sokongan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, dan ahli parti berkenaan sepanjang beliau menerajui Kerajaan Negeri bagi melaksanakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 yang kini diteruskan menerusi SMJ 2.0.
Menurutnya, pelantikan Ewon sebagai Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan membawa tanggungjawab besar bagi memastikan agenda pelaburan, pembangunan perindustrian dan keusahawanan di Sabah direalisasikan selaras dengan matlamat SMJ 2.0.
“Saya amat yakin, dengan komitmen dan kerjasama padu semua pihak, dari peringkat pimpinan kerajaan kepada peranan dan pembabitan kedua-dua sektor awam dan swasta, insya-Allah, pelan pembangunan Hala Tuju SMJ 2.0 akan dapat dijayakan dengan penuh kecemerlangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
