am@hmetro.com.my
Georgetown: Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) bercadang membangunkan perisian kecerdasan buatan (AI) dengan dana penyelidikan industri bagi mentafsir bahasa tidak formal termasuk slanga santai serta popular kepada bentuk bahasa formal secara sistematik.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof Dr Hang Tuah Baharudin berkata, inisiatif itu tindak balas pihaknya kepada evolusi bahasa yang pesat dan sentiasa berubah bagi memastikan mesej dan maklumat penting dapat difahami dengan jelas menggunakan bahasa yang betul.
Beliau berkata, bahasa tidak formal termasuk slanga santai itu kerap digunakan Generasi Z dalam komunikasi di media sosial, justeru usaha itu dilihat membantu merapatkan jurang pemahaman.
“Ia dapat memastikan mesej dan maklumat penting tidak disalah tafsir sekali gus memastikan kesinambungan penggunaan bahasa yang betul serta memelihara keaslian bahasa itu sendiri agar tidak hilang ditelan arus perubahan bahasa slanga atau ringkasan moden.
“Sejak wujudnya media sosial, penggunaan Bahasa Malaysia dan Inggeris semakin lama semakin pendek serta wujud banyak terma baharu, ringkasan serta singkatan digunakan. Bahasa memang berubah dari semasa ke semasa dan perkara ini menjadi satu trend baharu dalam kita menyampaikan sesuatu maklumat.
“Jadi kita ada pakar linguistik yang melihat bagaimana bahasa itu boleh digunakan serta mengolahnya menjadi bahasa yang betul sebab yang paling utama adalah penyampaian itu jelas dan maklumat disampaikan,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Bahasa, Kesusasteraan dan Budaya Malaysia ke-13 (MICOLLAC 2025) anjuran FBMK UPM di sini, semalam.
Persidangan itu dirasmikan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai.
Hang Tuah berkata, usaha itu penting untuk mendidik generasi muda supaya kembali memperkaya penggunaan bahasa yang betul sekali gus memelihara serta mengangkat martabat bahasa itu sendiri.
Beliau menjelaskan usaha itu juga anjakan daripada pengaturcaraan bahasa komputer tradisional kepada penggunaan AI untuk beradaptasi dengan corak linguistik baharu dengan fokus utama mengumpul sebanyak mungkin data membabitkan puluhan ribu bahasa atau istilah yang menjadi trend generasi muda.
Menurutnya, inisiatif itu turut dilihat sebagai satu cara memanfaatkan AI bagi membantu masyarakat, sekali gus menangkis persepsi negatif bahawa AI hanya melemahkan daya fikir manusia dengan menjadikannya sebuah kamus pengetahuan digital yang membantu meningkatkan penguasaan bahasa pengguna.
“AI sebenarnya perlu diajar oleh manusia, jadi kita ajar perisian itu untuk faham. Contohnya, kita perlu beritahu perisian itu bahawa singkatan seperti ‘IMO’ membawa makna ‘in my opinion’, ‘GTG’ (‘got to go’), ‘blh’ bermaksud boleh atau ‘apa cer’ bermakna ‘apa cerita’ yang juga boleh membawa maksud cara seseorang bertanya khabar.
“Kerana itu AI memerlukan data yang sangat banyak. Apabila pangkalan datanya sudah cukup besar dan mempunyai rekod mencukupi, barulah ia boleh mentafsir serta mengekod sesuatu istilah atau bahasa ringkas kepada bahasa sebenar dengan tepat mengikut konteks penggunaan yang sesuai,” katanya.
Terdahulu, persidangan selama tiga hari bertemakan Jambatan Perkataan dan Dunia: Dialog Dinamik dalam Bahasa, Kesusasteraan dan Budaya yang dihadiri 150 peserta dari 12 negara itu berperanan sebagai platform ilmiah untuk membincangkan isu serta kajian terkini bidang berkaitan seterusnya menjalin jaringan kerjasama pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd