UPM hasilkan gel sukan berasaskan kurma

UPM hasilkan gel sukan berasaskan kurma

KUALA LUMPUR- Formulasi gel tenaga gabungan bahan-bahan berkhasiat atau superfood berjaya dihasilkan sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) khas untuk atlet sukan.

Profesor Kejuruteraan Bahan Makanan dan Teknologi Serbuk, Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof berkata, komponen utama bagi gel tenaga sukan ini ialah karbohidrat yang berfungsi sebagai sumber tenaga yang cepat dan mudah diakses untuk badan dan direka untuk senang dimakan semasa bersenam.

“Kami menggunakan kurma, madu dan ekstrak habbatus sauda menjadi produk tenaga yang sedia untuk dimakan (ready-to-eat (RTE)) dan bahan-bahan yang digunakan umum dikenali sebagai sumber makanan yang tinggi khasiat,” katanya.

Beliau menambah, minuman tenaga dalam bentuk cecair akan membebankan pengguna dan perlu diambil dalam jumlah yang lebih banyak.

“Maka dengan itu, tenaga tambahan dalam bentuk gel boleh mengelakkan ketidakselesaan gastrik dan ia adalah alternatif yang lebih praktikal.

“Perkembangan ini amat penting dan sesuai untuk kehidupan atlet dan ahli sukan yang sibuk dengan jadual mereka yang padat dengan latihan serta perjalanan untuk perlawanan dan
permainan,” katanya.

Prototaip gel tenaga berkenaan telah diuji keberkesanannya menerusi analisis indeks glisemik (GI) iaitu melalui ujian darah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM hasil kolaborasi bersama Prof. Madya Dr. Hazizi Abu Saad dan ahli kumpulan penyelidikan beliau.

“Pengukuran GI ke atas 30 responden yang sihat menunjukkan gel ini mempunyai tahap GI 50 sahaja berbanding dua lagi gel tenaga komersial yang dibandingkan di mana masing-masing mempunyai nilai GI yang tinggi iaitu 84 dan 91,” jelasnya.

Tambahnya, Gel dengan GI yang lebih rendah membebaskan tenaga secara beransur-ansur dapat mengekalkan tenaga dengan lebih berkesan.

Projek ini telah mendapat penajaan geran melalui Anugerah Putera Faisal Fahad bagi Penyelidikan Sukan 2021 dengan kerjasama penyelidik dari Saudi Arabia, Jepun, dan juga
Mesir.- MalaysiaGazette