UPM juara ragbi SUKIPT kali kelima

UPM juara ragbi SUKIPT kali kelima

sukan@hmetro.com

Sintok: Skuad ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM) menepati ramalan membawa pulang pingat emas acara ragbi 7s Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT 2024) di Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

UPM, juara bertahan dan mengekalkan kemenangan kali kelima dalam temasya SUKIPT ini membuat perhitungan di pentas akhir dengan menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan keputusan 21-0.

Lebih manis kejayaan merangkul emas ini diraih tanpa bolos dengan rekod perlawanan menewaskan UniKL (32-0), IPG KL (29-0), UTEM (34-0) dan Politeknik (24-0).

Aksi di separuh akhir pula menyaksikan UPM menewaskan Universiti Teknologi Petronas (UTP) 34-0 sebelum memuktamadkan kejuaraan 21-0 dengan menewaskan UiTM.

Menurut pengurus pasukan UPM, Muhammad Zyuraidi Abdul Majid, beliau bersyukur skuadnya yang dibarisi pemain baharu menunjukkan komitmen yang begitu tinggi untuk meraih kemenangan sejak memulakan aksi dalam kumpulan F.

“Faktor kemenangan kami adalah tahap disiplin dan komitmen yang tinggi yang dimiliki setiap pemain melalui persiapan yang kami lakukan di Serdang sebelum hadir ke SUKIPT.

“Pemain juga menambah tahap keyakinan mereka apabila berjaya mengekalkan kedudukan tanpa bolos hingga ke peringkat akhir dan itu motivasi yang kami bawa hingga dapat mengekalkan sasaran emas pada tahun ini.

“Namun cabaran yang kami hadapi tidak mudah kerana lawan kami sentiasa memberi saingan tinggi terutama di peringkat separuh akhir dan juga akhir,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top