UPM lancar Blueprint Kesihatan Planet, perkasa agenda kampus lestari

UPM lancar Blueprint Kesihatan Planet, perkasa agenda kampus lestari

Kuala Lumpur: Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar satu lagi langkah penting dalam agenda kelestarian apabila melancarkan UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint sebagai kerangka strategik universiti untuk memacu tindakan bersepadu dalam pemeliharaan alam sekitar, kesejahteraan komuniti dan pembangunan mampan.

Pelancaran blueprint berkenaan berlangsung sempena Bulan Sinergi Putra 2026 yang dianjurkan sepanjang Jun dengan tema “Dari Kampus ke Impak Nasional dan Global: Sinergi untuk Masa Hadapan Mampan”.

Inisiatif itu bertujuan memperkukuh peranan UPM dalam menterjemahkan kekuatan ilmu, penyelidikan, inovasi dan jaringan komuniti kepada impak yang lebih luas di peringkat nasional serta global.

Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, blueprint berkenaan akan menjadi panduan universiti dalam menyelaras pelbagai inisiatif akademik, penyelidikan, inovasi, operasi kampus dan libat sama komuniti bagi menangani cabaran kesihatan planet.

Menurutnya, pelaksanaan pelan itu juga selari dengan usaha menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) selain memperkukuh komitmen universiti terhadap kelestarian.

“Universiti tidak boleh lagi sekadar menjadi menara gading yang melahirkan kertas kajian akademik semata mata.

“UPM perlu bertindak sebagai peneraju, makmal hidup dan penggerak utama kepada penyelesaian krisis global demi keseimbangan kehidupan manusia dan alam,” katanya.

Beliau berkata, melalui UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint, universiti menyediakan kompas pemandu dan pelan tindakan bersepadu untuk mengemudi seluruh warga kampus ke arah pembentukan ekosistem yang lebih mampan.

Katanya, pendekatan itu memastikan aspek akademik, penyelidikan, jaringan komuniti dan operasi kampus bergerak dalam satu hala tuju yang sama demi mencapai matlamat kelestarian jangka panjang.

Selain blueprint berkenaan, UPM turut melancarkan Ringkasan Eksekutif Blueprint Keterjaminan Makanan UPM dalam Bahasa Mandarin serta Pelan Pemacu Kesohoran Global Universiti Putra Malaysia atau PUTRA GLOBE 2026-2035.

Ahmad Farhan berkata, ketiga tiga dokumen strategik itu saling melengkapi dalam memperkukuh kedudukan UPM sebagai universiti yang unggul dalam bidang pertanian, kelestarian dan pembangunan global.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman berkata, penganjuran Bulan Sinergi Putra 2026 membuktikan keberanian UPM menterjemahkan pelan strategik kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan negara.

Menurutnya, institusi pendidikan tinggi tidak lagi boleh bergerak secara berasingan, sebaliknya perlu memainkan peranan sebagai enjin pertumbuhan negara, pusat rekayasa sosial dan penyelesai masalah komuniti.

Beliau turut menyifatkan lima fokus utama UPM bagi tahun 2026 yang merangkumi Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kesihatan Planet dan Kelestarian, Kesohoran Global, Kesejahteraan Warga serta Jiwa Putra sebagai selari dengan agenda pembangunan negara.

Sepanjang Bulan Sinergi Putra 2026, pelbagai program dilaksanakan bagi memperkukuh kefahaman warga kampus terhadap hala tuju strategik universiti selain menggalakkan kolaborasi rentas disiplin, kecemerlangan akademik dan penyelidikan serta memperluaskan sumbangan UPM kepada komuniti, industri dan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top