UPM, UNINDRA anjur Seminar Antarabangsa Siswazah Sastera dan Budaya

UPM, UNINDRA anjur Seminar Antarabangsa Siswazah Sastera dan Budaya

izawan@hmetro.com.my

Serdang: Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Universitas Indraprasta PGRI (UNINDRA) Indonesia, Jaringan Komuniti Sastera Kanak-Kanak dan Remaja, Pertubuhan Penulis Kuala Lumpur dan Komunitas NuuN, Jakarta berganding bahu menganjurkan Seminar Antarabangsa Siswazah Sastera

dan Budaya Siri 3 (SAS 3).

Seminar sehari itu berlangsung pada 22 September ini secara hibrid iaitu secara fizikal di Gedung PPG Kampus C, Universitas Indraprasta PGRI, Jakarta, dan secara dalam talian yang dikendalikan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM.

FBMK dalam kenyataan berkata, seramai 128 pemakalah membentangkan hasil penyelidikan masing-masing.

Menurutnya, seminar turut mendapat sokongan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), UPM yang meluluskan penajaan penyertaan 20 pelajar sebagai pembentang kertas kerja.

“SAS 3 mengangkat tema ‘Kelestarian Bahasa, Sastera dan Budaya Nusantara untuk Alaf 21’.

“Turut menjadi matlamat SAS 3 adalah menjana penyelidikan bermutu, memperluas jaringan akademik antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat berilmu dan berbudaya tinggi, khususnya di rantau Nusantara,” katanya.

Kenyataan itu berkata, usaha SAS 3 memperkukuh hubungan kesarjanaan antara Malaysia dengan Indonesia yang dilihat sebagai usaha murni pemeliharaan warisan budaya di rantau Nusantara.

Sementara itu, Dekan FBMK, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim berkata, penting untuk warisan budaya di rantau ini dipelihara sebagai asas jati diri bangsa.

“Saya berharap seminar ini dapat menjadi pemangkin kepada penyelidikan berimpak tinggi serta dasar kebudayaan dan pendidikan yang mampan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top