UPNM julang Piala Menteri Pengajian Tinggi

BANGI : Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjulang kejuaraan Piala Menteri Pengajian Tinggi 2019/2020 buat kali pertama setelah menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan agregat 3-0.

Pada aksi final pertama, UPNM menang tipis 1-0 ke atas UKM dan pada aksi timbal balik di Stadium UKM, Bangi, sebentar tadi, anak didik Hairul Nizar Nur Halim mengatasi lawan, 2-0.

Gol pada setiap babak jaringan pemain UPNM, Muhammad Ikhmal Zuri Asmadi pada minit ke-16 dan N. Thinesvarman penghujung babak kedua sudah cukup memastikan pelawat merangkul gelaran buat kali pertama selepas hampir 10 tahun.

Beraksi dilaman sendiri, menyedari gol awal perlu dimiliki, UKM mempamerkan semangat garang memberi tekanan kepada lawan.

Corak permainan agresif dan menarik dipamerkan nyata menghiburkan kira-kira 5,000 penyokong kedua-dua pasukan yang hadir memberikan sokongan padu pada pasukan masing-masing.

Keghairahan UKM yang merupakan juara tiga kali kejohanan memburu gol bagaimanapun tersentak seketika apabila Ikhmal menjaringkan gol buat UPNM pada minit ke-16.

Gol berpunca dari sepakan voli dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gawang UKM, Syed Muhammad Irfan Syafiq Syed Mohd Kamil.

Tersentak gol tersebut, UKM memperkemaskan corak serangan bagi memburu gol penyamaan namun keputusan 1-0 itu kekal sehinggalah kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan.

Babak kedua bersambung UKM turut memiliki beberapa peluang namun ketangkasan penjaga gawang UPNM, G. Navind Raj menafikan impian tuan rumah.

Pintu kejuaraan buat UPNM semakin jelas kelihatan selepas Thinesvarman menjaringkan gol kedua di penghujung babak perlawanan untuk memastikan kemenangan mutlak UPNM.

Kemenangan ini membolehkan UPNM membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.00 selaku juara manakala UKM pula akur ditempat kedua dengan hadiah kemenangan RM7,000.00.

Terdahulu pada aksi penentuan tempat ketiga dimenangi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniZa) dan tempat keempat milik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad yang hadir menyaksikan perlawanan akhir.-UTUSAN ONLINE