UPSI, ATU jalin kerjasama perkukuh modal insan ketenteraan

UPSI, ATU jalin kerjasama perkukuh modal insan ketenteraan

Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalin kerjasama strategik bersama Akademi Tentera Udara (ATU), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam usaha memperkukuh pembangunan sumber manusia ketenteraan merangkumi aspek pendidikan, latihan pedagogi serta kebolehpasaran anggota.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif itu, sekali gus bersedia menawarkan kepakaran dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan etnik dan latihan profesional.

“UPSI adalah satu-satunya universiti yang menawarkan kursus Bahasa Etnik di Malaysia, termasuk Bahasa Semai, serta mempunyai pakar dan pensyarah daripada komuniti Orang Asli sendiri.

“Dalam usaha TUDM merekrut belia Orang Asli dalam bidang teknikal atau kejuruteraan, UPSI boleh membantu dari segi latihan asas atau penyediaan kursus khas yang bersesuaian,” katanya ketika menerima kunjungan pengurusan ATU di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini, Khamis lalu.

Md Amin berkata, kerjasama itu turut membuka ruang pelaksanaan program Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) bagi memberi peluang kepada anggota TUDM menukar pengalaman kerja kepada kelayakan akademik.

“Anggota yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun boleh menukarkan pengalaman itu kepada kredit akademik untuk memperoleh diploma atau ijazah.

“UPSI juga mencadangkan pelaksanaan latihan keusahawanan digital bagi membantu anggota tentera membuat persediaan awal menghadapi kehidupan selepas tamat perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan memperkukuh jati diri generasi muda melalui pendekatan pendidikan dan kesedaran pertahanan negara.

“Kita fokus kepada tiga perkara utama iaitu pengambilan dan pendidikan Orang Asli, program APEL serta persediaan persaraan anggota, dan latihan pedagogi serta teknologi untuk instruktur TUDM.

“Kita perlu membina semula jiwa generasi muda dengan semangat pertahanan menyeluruh demi masa depan negara,” kataya.

Sementara itu, Komandan ATU, TUDM, Kolonel Nurul Amir Othman berkata, kunjungan itu adalah langkah awal ke arah membina kerjasama dua hala yang lebih menyeluruh antara ATU dan UPSI.

Beliau berkata, antara fokus utama ATU adalah meningkatkan penyertaan belia Orang Asli dalam TUDM, khususnya dalam bidang teknikal seperti juruteknik pesawat, pembantu juruteknik dan krew udara.

“Kami melihat program ini sebagai satu peluang besar, namun penyertaan masih rendah ketika ini dan memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top