UPSI hantar akademia mengajar bahasa Melayu di Uzbekistan

UPSI hantar akademia mengajar bahasa Melayu di Uzbekistan

Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghantar seorang tenaga pengajar ke Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS), Uzbekistan, sejajar dengan usaha memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di peringkat global.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, tenaga pengajar dari Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu (JBKM), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Prof Madya Dr Anida Sarudin akan terbabit dalam program sangkutan akademik selama tiga bulan di universiti berkenaan.

Beliau berkata, usaha pemerkasaan ini adalah langkah strategik dalam memperluas jaringan akademik dan diplomasi bahasa antara TSUOS, Uzbekistan dan UPSI.

“Sokongan berterusan daripada organisasi dan institusi di Malaysia amat diperlukan bagi membantu jabatan memperkaya sumber ilmu serta bahan warisan budaya di TSUOS dalam konteks pembelajaran yang berkesan.

“Inisiatif berterusan ini diharap mampu melahirkan lebih ramai penutur bahasa Melayu di rantau Asia Tengah, sekali gus mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa yang dinamik dan relevan,” katanya.

Sementara itu, Anida berkata program berkenaan memberi fokus kepada integrasi bahasa dan budaya sebagai elemen utama dalam proses pembelajaran.

Menurutnya, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di TSUOS perlu diperkukuhkan melalui pendedahan yang lebih menyeluruh terhadap konteks budaya.

“Pendekatan ini diyakini dapat membantu pelajar memahami makna bahasa secara lebih mendalam, sekali gus meningkatkan kecekapan komunikasi dan apresiasi terhadap budaya Melayu,” katanya.

Selain pengajaran, katanya, sumbangan JBKM turut dizahirkan melalui pemberian pelbagai bahan ilmu seperti buku rujukan, bahan visual, serta pakaian tradisional Melayu.

“Penyediaan bahan ini bertujuan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih autentik dan kontekstual di dalam bilik kuliah,” katanya yang mengajar Bahasa Melayu di Fakulti Filologi, Fakulti Jurnalisme, Fakulti Ekonomi dan Fakulti Pelancongan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top