PETALING JAYA: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) muncul johan kategori institusi pengajian tinggi (IPT) pada Festival Seni Suara Alunan Melodi 2026 Peringkat Kebangsaan (FESTSAM 2026) yang diadakan di Panggung Seni UKM, Bangi baru-baru ini .
Dalam festival tersebut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditempat kedua, manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) menduduki tempat ketiga dalam pertandingan yang menghimpunkan bakat seni suara daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Festival anjuran Pusat Kebudayaan Universiti UKM dengan kerjasama Kelab Vokalisukma, Artisukma, Coffeplace dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu diadakan selama dua hari bagi mencungkil bakat baharu serta memupuk kecintaan terhadap warisan muzik Melayu.
Memuatkan artikel berkaitan…
Pertandingan kategori IPT mengenengahkan nyanyian lagu pop yeh yeh dengan penyertaan 12 peserta yang mewakili institusi daripada Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan dan Kedah.
Selain itu, seramai 19 peserta menyertai kategori sekolah rendah menerusi pertandingan nyanyian lagu irama Malaysia dan sekolah menengah bagi kategori pop balada Melayu.
Para peserta mempamerkan kreativiti serta kebolehan masing-masing dalam seni suara, sekali gus memeriahkan festival yang menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 500 penonton terdiri daripada warga UKM dan orang awam.
Festival itu turut diserikan dengan penglibatan aktivis seni tanah air, termasuk Maisarah Ismail yang mengendalikan bengkel vokal, Erul Samah, Azizul Haqim Anwar dan Rosdi Omang yang mewakili Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Persembahan khas penyanyi legenda era Pop Yeh Yeh, S. Mariam, turut menjadi antara tarikan program berkenaan yang membawa nostalgia muzik Melayu era 1960-an.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman.
Hadir sama, Pendaftar UKM, Zanudin Mohd. Daud; Setiausaha Kehormat Majlis Pengetua UKM, Prof. Madya Ts. Dr. Darman Nordin; wakil Presiden Persatuan Kebajikan Artis Malaysia, Datin Zorida Mat Piah; serta Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti UKM, Mohamed Asrof Semin. – UTUSAN




