UPSI lakar sejarah, laksana kaunseling bergerak pertama 'Counselor on Wheels'

UPSI lakar sejarah, laksana kaunseling bergerak pertama 'Counselor on Wheels'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah selepas mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) hasil pelaksanaan inisiatif ‘Counselor on Wheels’ (COW) iaitu program kaunseling kesihatan mental bergerak pertama di negara ini.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh wakil MBOR, Siti Hajar Johor sempena majlis perasmian program dikenali ‘First Mobile Mental Health Counseling’ dan sambutan Bulan Kesedaran Autisme di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, inisiatif berkenaan satu langkah proaktif universiti dalam mendekati komuniti dengan membawa perkhidmatan intervensi kesihatan mental secara terus kepada masyarakat.

“Melalui inovasi COW, kita mentransformasikan Bas Pendidikan UPSI menjadi platform perkhidmatan kaunseling bergerak yang bukan saja memfokuskan aspek pencegahan dan psikopendidikan, malah membabitkan intervensi serta rujukan kepada pakar.

“Program itu membuktikan peranan universiti bukan sekadar sebagai pusat penyebaran ilmu namun institusi yang bertindak sebagai penyelesaian kepada isu masyarakat khususnya dalam aspek kesejahteraan mental,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Raja Nor Safinas Raja Harun; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Dr. Mohd Izwan Shahril; Pengarah Pusat Kaunseling UPSI , Dr. Pau Kee dan Pengarah Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE) UPSI, Dr. Hasrul Hosshan.

Menurut Norkhalid, pasukan pelaksana yang terdiri daripada pegawai psikologi dan fasilitator mahasiswa terlatih dalam Bantuan Awal Psikologi (PFA) berjaya menyantuni seramai 7,648 peserta di 38 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Inisiatif ini juga diperkukuh dengan penggunaan teknologi realiti maya (VR) yang membantu memberikan pengalaman intervensi lebih efektif.

“Di samping itu, ia membantu mengurangkan stigma masyarakat terhadap rawatan kesihatan mental,” katanya.

Norkhalid berkata, autisme perlu dilihat sebagai satu keunikan yang memerlukan sokongan dan kefahaman, bukan penghakiman.

“Sebagai institusi pendidikan, UPSI komited membina ekosistem inklusif yang bukan sahaja meningkatkan kesedaran tetapi juga memperkukuh penerimaan terhadap kepelbagaian dalam masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top