UPSI perkukuh kedudukan antarabangsa di Fellowship Program Bangkok

UPSI perkukuh kedudukan antarabangsa di Fellowship Program Bangkok

Tanjung Malim: Penyertaan Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Fellowship Program Bangkok sempena Thailand International Book Fair di Queen Sirikit National Convention Centre, Bangkok pada 27 hingga 28 Mac lalu berjaya mengukuhkan kedudukan universiti itu di pentas antarabangsa.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Antarabangsa) UPSI, Suriani Abu Bakar berkata, pengiktirafan daripada Oxford University Press (OUP) sebagai satu pencapaian amat membanggakan.

Beliau berkata, pembabitan OUP sebagai rakan niaga mencerminkan keyakinan industri antarabangsa terhadap kredibiliti dan standard penerbitan UPSI.

“Penyertaan dalam Fellowship Program ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkenalkan karya akademik Malaysia ke pasaran global, di samping mengangkat jenama Penerbit UPSI sebagai penerbit universiti yang aktif dan berdaya saing di arena antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, ia juga sejajar dengan usaha berterusan Penerbit UPSI dalam memperluas jaringan antarabangsa serta mempertingkatkan kebolehpasaran kandungan ilmiah tempatan ke peringkat dunia.

Sementara itu, Pengarah Penerbit UPSI, Prof Madya Dr Nordiana Hamzah berkata, program Fellowship Program Bangkok adalah inisiatif profesional yang menghimpunkan penerbit, editor dan pemain industri buku dari seluruh dunia bagi memperkukuh jaringan, berkongsi kepakaran serta meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang penerbitan.

Katanya, program itu berlangsung seiring dengan Thailand International Book Fair, salah satu pesta buku terbesar di Asia Tenggara yang menjadi platform utama perdagangan hak cipta, penerbitan dan pertukaran idea dalam industri buku global.

“Penyertaan ini bukan sahaja membuka ruang jaringan profesional global, malah turut membuahkan perkembangan signifikan apabila Penerbit UPSI mencapai kata sepakat awal bagi urus niaga penjualan lesen (licensing) sebanyak 200 judul e-buku bahasa Melayu kepada Oxford University Press, yang diwakili oleh Zachary Burke.

“Perkara ini bagaimanapun akan diperhalusi selanjutnya oleh pihak perundangan UPSI dan Oxford bagi merealisasikan inisiatif yang mencerminkan potensi besar dalam usaha memperluas capaian karya akademik tempatan ke peringkat global,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, sebuah syarikat penerbitan dari India iaitu Aram Publication turut berminat memperoleh hak penerbitan bagi beberapa judul terpilih bersama Penerbit UPSI.

“Kami mengadakan perbincangan awal sehingga mencapai tahap yang positif, dan akan diperhalusi lanjut oleh kedua-dua pihak sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Antara judul yang dikenal pasti termasuklah Malay Women in Colonial Texts (Lajiman Janoory), Reef Life: The Heart of Malaysian Sea (Norhayati Daud), Alice and Her Magic Scarf, Bella’s Newfound World dan Mary The Cook and The Dragon (Mahendran Maniam), Dewa Pechil (Patricia Ann Hardwick dan Fara Dayana Mohd Jufry), Puteh Mariah Srikandi Politik Tidak Didendangkan (Mohamed Jeffri Haji Mat Lazim dan Ishak Saat), serta Pertemuan di Tepi Tasik (A. Wahab Rauf).

Minat itu, katanya, mencerminkan potensi tinggi karya terbitan UPSI untuk menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di rantau Asia Selatan.

Sepanjang berlangsungnya Bangkok Rights Fair, Penerbit UPSI turut aktif mengadakan pertemuan dan rundingan strategik bersama wakil penerbit terkemuka dari pelbagai negara termasuk Thailand, China, United Kingdom, India, Turki dan Korea Selatan sekali gus memperkukuh potensi kolaborasi serta membuka peluang penerbitan bersama dan pertukaran hak cipta pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Editor Penerbit UPSI, Azlan Mohd Dahari berkata, penyertaan dalam program itu sebagai satu pengiktirafan besar buat Penerbit UPSI.

“Ini satu penghormatan buat Penerbit UPSI kerana pemilihan menyertai Fellowship Program ini dibuat oleh pihak Publishers and Booksellers Association of Thailand (PUBAT) berdasarkan pengalaman luas serta jaringan industri yang dibina dalam arena perbukuan antarabangsa.

“Saya berasa bangga atas pencapaian ini kerana kejayaan penjualan hak penerbitan kepada penerbit antarabangsa berprestij membuktikan kualiti dan kebolehpasaran karya akademik UPSI di peringkat global,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top