bhnews@bh.com.my
TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersedia menggunakan kepakarannya untuk membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mewujudkan Dasar Pendidikan Digital.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Dr Mah Hang Soon dalam perbincangan ringkas bersama pengurusan tertinggi dan tenaga pakar teknologi Pendidikan UPSI kelmarin bersetuju untuk bekerjasama dengan UPSI berikutan universiti berkenaan memiliki kepakaran dalam pembangunan pendidikan di negara ini.
Katanya, kerjasama di antara UPSI dan KPM penting dalam membangunkan infrastruktur digital KPM, sekali gus dapat memajukan sistem pembelajaran dalam talian, terutama ketika situasi pandemik COVID-19.
Beliau berkata, kepakaran UPSI perlu diguna pakai bagi merealisasikan beberapa aspek termasuk dalam mewujudkan Dasar Pendidikan Digital dan meningkatkan sistem Pembelajaran Abad-21.
UPSI, katanya, memiliki ramai tenaga pakar yang terbabit dalam penyelidikan pendidikan dan ia perlu dimanfaatkan.
“UPSI dan KPM perlu bekerja dalam satu pasukan untuk memikirkan hala tuju masa depan dunia pendidikan negara ini,’ katanya.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar dan Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI menyambut baik cadangan itu berikutan memiliki pakar teknologi pendidikan.
Beliau berkata, sebagai universiti nombor satu pendidikan, UPSI memiliki kepakaran dalam pembangunan pedagogi yang diaplikasikan oleh guru.
Md Amin berkata, UPSI turut membantu KPM mengkaji isu beban tugas guru sejak tahun lalu yang membabitkan kira-kira 60,000 responden di seluruh negara dan dijangka siap tahun ini.
“UPSI memiliki Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) yang mengumpulkan data pusat TASKA dan TADIKA dari seluruh negara yang sentiasa menjadi rujukan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd